Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

105) KEBAJIKAN PEKERJA

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Mohd Najwan Bin Halimi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan Negeri bagi memastikan tempat tinggal yang baik untuk para pekerja sektor swasta selaras dengan Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990?

    Secara amnya, keperluan menyediakan tempat tinggal yang baik untuk para pekerja adalah tanggungjawab majikan seperti mana yang telah digariskan oleh Jabatan Tenaga Kerja. Bagi memastikan kawalan penginapan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menerima pakai Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan diluluskan oleh Majlis Negara Kerajaan Tempatan.  Prosedur ini telah menjelaskan kewajipan pengusaha, pengilang dan majikan untuk memastikan penginapan pekerja mematuhi keperluan minima yang ditetapkan di dalam peruntukan Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) dan Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020. Sebagai contoh kemudahan yang tidak boleh dikongsi di asrama penginapan pekerja adalah seperti katil, tilam, bantal, selimut dan almari. Disamping itu, KPKT dijangka akan mengeluarkan Garis Panduan Perancangan Penginapan Pekerja Berpusat (Centralised Labour Quarters – CLQ) yang lebih komprehensif yang boleh diguna pakai oleh semua pihak dan seterusnya akan membantu menyelesaikan isu penginapan pekerja untuk jangka masa panjang.

Lampiran

Tiada Lampiran.