Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014

121) KEBAJIKAN ORANG BUKAN ISLAM

Tahun: 2014

Sesi: 1

Isu: Hal Ehwal Selain Islam

Adun: Y.B. Tuan Hasbullah Bin Mohd Ridzwan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah bentuk dan jenis bantuan kerajaan negeri untuk orang bukan Islam di Selangor yang memerlukan bantuan berbentuk kebajikan untuk OKU, anak yatim, orang miskin dan sebagainya?

    Tiada perbezaan bentuk dan jenis bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di antara golongan orang Islam dan orang bukan Islam. Namun begitu, adalah menjadi amalan orang Islam untuk mewujudkan tabungan dan bantuan tambahan dari Lembaga Zakat Selangor kepada orang-orang Islam yang terdiri daripada 8 kategori golongan asnaf.

    Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM10,812,573.00 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor untuk disalurkan kepada golongan yang telah dikenalpasti berkelayakan tanpa mengira latar belakang agama sebanyak RM100.00 hingga RM175.00 sebulan bagi setiap keluarga.

    Melalui Program Skim Mesra Usia Emas / OKU, golongan OKU ini akan didaftarkan sebagai ahli dan akan menerima sumbangan ini sebagai khairat kematian sebanyak RM2,500.00. Ini bertujuan untuk membantu meringankan beban keluarga dalam pembayaran kos pengurusan jenazah dan pengkembumian yang mana mencecah ribuan ringgit bagi menguruskan pengkebumian mayat terutama bagi orang bukan Islam. Selain itu, melalui Program MES juga, golongan OKU yang dilihat berpotensi menjalankan perniagaan boleh mendapatkan bantuan modal melalui skim mikrokredit yang ditawarkan sama ada yang tinggal di bandar (MiMBAR) atau pun luar bandar (SkimSel).

    Selain daripada itu, Jawatankuasa Tetap Kebajikan turut melaksanakan program bantuan sempena perayaan dengan memberi sumbangan berbentuk persiapan perayaan kepada anak yatim, OKU dan orang miskin dari golongan kurang berkemampuan.

    Bagi meringankan beban golongan ini dalam menyambut perayaan, Program Jom Shopping turut diadakan oleh Jawatankuasa Tetap Kemiskinan yang mana penerima bantuan ini adalah meliputi seluruh masyarakat di Negeri Selangor. Dalam membantu golongan ini keluar dari kelompok kemiskinan yang berpanjangan, Kerajaan Negeri juga menawarkan bantuan Blueprint Kemiskinan yang berbentuk bantuan peralatan kepada golongan miskin yang ingin memajukan perniagaan dan meningkatkan pendapatan mereka. Kebajikan anak-anak golongan orang miskin juga turut diberi perhatian dengan memberi peluang kepada mereka untuk menyambung pelajaran di INPENS (Industri Pendidikan Negeri Selangor) dalam bidang kemahiran teknikal yang ditaja sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor berdasarkan kepada syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    Manakala melalui Jawatankuasa Tetap Kerajaan Prihatin, bantuan membaikpulih atau membina rumah juga disediakan kepada golongan orang miskin yang memenuhi syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.