Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

1) KEBAJIKAN ORANG ASLI SEMASA PANDEMIK COVID19

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Puan Elizabeth Wong Keat Ping

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apa jenis bantuan Kerajaan Negeri yang telah diterima oleh Orang Asli Selangor khususnya semasa pandemik COVID-19 (Mac 2020 sehingga sekarang)?

    Berhadapan dengan Pandemik COVID-19 sememangnya mencabar buat kita semua terutama sekali dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Oleh itu Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dengan sedaya-upaya dan proaktif dalam mendepani PKP ini bagi memastikan kebajikan rakyat negeri ini terbela. Pada tahun 2020, di bawah Pakej Rangsangan Selangor Prihatin, Kerajaan Negeri telah melaksanakan pemberian bakul makanan kepada 5,941 Ketua Isi Rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di mana ianya diberikan dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, tepung, gula, susu dan minyak masak dengan kos siling sebanyak RM50.00 satu keluarga dengan jumlah keseluruhan RM297,050.00.

    Inisiatif ini diteruskan lagi pada tahun ini di bawah “Pakej Kita Selangor” dengan sedikit penambahbaikan di mana setiap ketua isi rumah Orang Asli akan menerima bakul makanan bernilai RM100.00 satu keluarga. Secara keseluruhannya, manfaat ini telah diterima oleh 6,503 Ketua Isi Rumah Orang Asli di seluruh Negeri Selangor dengan jumlah keseluruhan bagi tahun 2021 adalah sebanyak RM650,300.00. Perincian bagi penerima sumbangan bakul makanan adalah seperti di Lampiran A.

    LAMPIRAN A (no. 1)

  2. Sila memperincikan jenis dan jumlah bantuan mengikut kampung-kampung Orang Asli.

    Jawapan sama seperti di sub (a).

  3. Berapa kali saringan COVID-19 telah dilaksanakan di Kampung-kampung Orang Asli?

    Jabatan Kemajuan Orang Asli Negeri Selangor & Wilayah Persekutuan (JAKOA) tidak menetapkan berapa jumlah saringan yang perlu dilaksanakan di kampung-kampung Orang Asli di Negeri Selangor. Walaubagaimanapun, pelaksanaan saringan yang dibuat adalah secara bersasar dengan kerjasama daripada Pejabat Kesihatan Daerah berdasarkan keperluan mengikut daerah dan kampung Orang Asli. Setakat ini, saringan bersasar telah dilaksanakan di tiga buah kampung Orang Asli di Negeri Selangor. Saringan ini telah melibatkan 393 orang iaitu 91 orang daerah Petaling, 42 orang daerah Kuala Langat dan 260 orang daerah Sepang. Perincian saringan bersasar ini adalah seperti di LAMPIRAN B.

Lampiran

Tiada Lampiran.