Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

72) KEBAJIKAN ORANG ASLI DAN MINORITI

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menjaga kebajikan orang asli, melindungi hak tanah orang asli dan memastikan hak adat mereka dihormati dan diiktiraf?

    Sepertimana Yang Berhormat Bukit Lanjan sedia maklum, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil cakna dalam menjaga kebajikan, melindungi hak tanah orang asli dan memastikan hak adat mereka dihormati. Pelbagai program dan aktiviti telah dilaksanakan bagi menjaga kebajikan Orang Asli yang merangkumi pendidikan, kesihatan dan sosioekonomi. Antara program yang dilaksanakan adalah :-

    1. Bantuan pakaian seragam sekolah;
    2. Bantuan wang saku RM4.00 sehari;
    3. Bantuan biasiswa kepada pelajar yang memasuki IPTA;
    4. Program motivasi pelajar;
    5. Program bakul makanan;
    6. Pembiayaan perubatan;
    7. Bantuan alatan sokongan pesakit;
    8. Bantuan peralatan bagi orang asli yang ingin memulakan perniagaan;
    9. Bantuan input pertanian dari segi baja, racun, peralatan dan kursus; dan
    10. Projek pembangunan ladang

    Dalam aspek melindungi hak tanah Orang Asli pula, Kerajaan Negeri bersama agensi berkaitan sentiasa memastikan hak tanah Orang asli dilindungi. Sebarang pencerobohan atau pengambilan tanah Orang Asli dilindungi seperti mana terkandung dalam Akta Orang Asli 1954 (Akta 134). Tiada pihak sewenang-wenangnya memasuki tanah atau perkampungan Orang Asli kecuali mendapat kebenaran dari pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) agar pemantauan dapat dilakukan. Kerajaan Negeri juga komited untuk memastikan semua tanah Orang Asli diwartakan sama ada di bawah Seksyen 6 atau Seksyen 7, Akta Orang Asli.

    Bagi memastikan hak adat Orang Asli terpelihara dan dihormati, pelbagai program telah dirangka antaranya Sambutan Hari Orang Asli pada 9 Ogos setiap tahun, mempromosikan perayaan masyarakat Orang Asli seperti Perayaan Pantai oleh kaum Mahmeri, mengekalkan cara hidup dari aspek perkahwinan, dan kepimpinan masyarakat Orang Asli.

  2. Berapakah peruntukan yang telah disalurkan antara tahun 2018-2023?

    Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bagi program-program masyarakat orang asli melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli bermula pada tahun 2020. Jumlah peruntukan melalui vot pembangunan yang telah disalurkan dari tahun 2020 sehingga 27 Oktober 2023 adalah sebanyak RM2,000,000.00 dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM1,619,208.30.

  3. Apakah perancangan Kerajaan Negeri bagi penambahan peruntukan?

    Untuk tahun 2024, Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Orang Asli    merancang untuk bergerak seiring dengan JAKOA Selangor terutamanya dalam segmen Pembangunan Modal Insan & Kebajikan Masyarakat Orang Asli yang merangkumi program peningkatan pendidikan dan kerjaya, kebajikan, kesihatan dan komuniti serta memberi fokus dalam segmen Pembangunan Sosio Ekonomi yang merangkumi infrastruktur dan kemudahan jalan kampung orang asli seperti bekalan air, bekalan elektrik, jalan perhubungan desa, meningkatkan kualiti jalan dan kemudahan telekomunikasi bagi memudahkan akses kepada penduduk terutamanya pelajar sekolah.

Lampiran

Tiada Lampiran.