Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
7) KEBAJIKAN ORANG ASLI
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Pua Pei Ling
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimanakah kerajaan negeri Selangor memastikan hak-hak tanah dan sumber alam komuniti Orang Asli dihormati dan dilindungi dalam sebarang projek pembangunan atau penggunaan tanah di kawasan mereka?
Untuk makluman Yang Berhormat Hak-hak tanah dan sumber alam komuniti Orang Asli dihormati dan dilindungi dalam sebarang projek pembangunan atau penggunaan tanah di kawasan mereka dengan mengambil kira beberapa langkah iaitu :-
- Pengiktirafan Hak Tanah Komuniti Orang Asli
Kerajaan Negeri Selangor melalui JAKOA memastikan bahawa tanah yang didiami atau digunakan oleh komuniti Orang Asli diiktiraf sebagai hak mereka. Ini termasuk memberi pengiktirafan formal terhadap hak pemilikan tanah atau hak penggunaan tanah oleh komuniti tersebut.
- Konsultasi Awal dan Partisipasi Komuniti
Sebelum projek pembangunan dijalankan di kawasan yang melibatkan komuniti Orang Asli, JAKOA akan mengadakan satu sesi libat urus awal dengan komuniti ini. Proses ini bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan persetujuan mereka, memastikan mereka terlibat secara aktif dalam membuat keputusan yang akan memberi kesan kepada tanah dan sumber alam mereka.
- Penguatkuasaan Undang-Undang
Kerajaan negeri juga akan menguatkuasakan undang-undang yang melindungi hak-hak Orang Asli, termasuk undang-undang yang berkaitan dengan pemilikan tanah, perlindungan alam sekitar, dan hak asasi manusia. Penguatkuasaan ini dapat menghalang sebarang eksploitasi yang tidak sah terhadap tanah dan sumber alam Orang Asli.
- Sumber Sokongan dan Pembangunan Sosial
Selain daripada perlindungan hak tanah, kerajaan negeri juga menyediakan sokongan dalam bentuk pembangunan sosial dan ekonomi untuk komuniti Orang Asli, seperti pendidikan, kesihatan, dan peluang ekonomi yang adil. Ini membantu memastikan kesejahteraan mereka, tanpa menjejaskan tanah dan sumber alam yang mereka miliki.
-
Adakah kerajaan negeri Selangor merancang untuk meningkatkan program sokongan sosial kepada masyarakat Orang Asli, terutamanya bagi menangani isu kemiskinan dan pengangguran dalam kalangan mereka?
Ya, Jabatan Kemajuan Orang Asli mempunyai beberapa rancangan dan inisiatif untuk meningkatkan sokongan sosial kepada masyarakat Orang Asli, terutamanya bagi menangani isu kemiskinan dan pengangguran dalam kalangan mereka. Beberapa program dan usaha yang telah dilaksanakan atau dirancang adalah:
- Program TVET (InSitu)
Program ini adalah kursus jangka pendek iaitu dalam tempoh 1 hingga 3 hari bertujuan melihat outcome kepada Masyarakat Orang Asli mendapat kemahiran dengan lebih mudah dan cepat. Antara program-program TVET (InSitu) yang telah dilaksanakan oleh pihak JAKOA adalah seperti berikut:-
- Kursus Asas Pendawaian Elektrik
- Kursus Automotif (Permotoran)
- Kursus Perniagaan Atas Talian
- Kursus Kemahiran Seni Tarian Orang Asli
- Kerjasama Bersama NGO
Selain daripada itu, pihak JAKOA juga telah dan sedang melaksanakan program dan TVET secara jangka panjang impak daripada pelaksanaan program jangka pendek di atas yang memberi impak positif kepada masyarakat Orang Asli setempat. Bagi peluang latihan kemahiran dan kerjaya pula JAKOA telah mengadakan kerjasama bersama PERKESO, Malaysia Airline, Jaya Grocer bagi melaksanakan pelbagai program pembangunan untuk masyarakat Orang Asli seperti Go TVET, bidang kemahiran (TVET), belajar sambil bekerja (Train & Place) & (Place & Train) dan bekerja sepenuh masa dari tahun 2020 sehingga kini.
-
Apa yang dilakukan oleh kerajaan negeri Selangor untuk memastikan masyarakat Orang Asli dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik, terutama dalam akses kepada peluang pekerjaan, perumahan, dan kemudahan asas?
- Jabatan Kemajuan Orang asli telah melaksanakan beberapa langkah dan inisiatif untuk memastikan masyarakat Orang Asli dapat menikmati taraf hidup yang lebih baik, dengan fokus utama kepada peningkatan akses kepada peluang pekerjaan, perumahan, dan kemudahan asas. Berikut adalah beberapa usaha yang dilakukan:
- Peningkatan Akses kepada Peluang pekerjaan
- Program Pengambilan Konstabel Polis Gred Y1
Program ini adalah kerjasama diantara PDRM dan JAKOA bagi memberi akses dan peluang kepada Masyarakat Orang Asli dengan laluan khas bagi mengisi kekosongan jawatan dalam pasukan polis Malaysia dengan calon-calon yang berkelayakan, di mana mereka akan menjalani latihan dan ujian yang ketat sebelum diterima sebagai anggota polis yang aktif.
- Program Pengambilan Calon Guru PISMB
Program Pengambilan Calon Guru PISMB (Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan) adalah program laluan khas kepada Masyarakat Orang Asli bagi pengambilan calon guru untuk mengikuti kursus perguruan yang akan membawa mereka ke dalam profesion perguruan di Malaysia. PISMB adalah salah satu program latihan untuk menjadi guru di sekolah-sekolah rendah di Malaysia. Program ini merupakan inisiatif oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama JAKOA untuk melatih dan menghasilkan guru-guru yang berkelayakan, kompeten, dan profesional dalam pendidikan.
- Perumahan
JAKOA ada menyediakan Program Bantuan Rumah Orang Asli (PBROA) samaada untuk bina baharu atau baikpulih rumah bergantung kepada Peruntukan yang disediakan setiap tahun bagi Masyarakat Orang Asli mendapat tempat perlindungan yang selasa dan selamat.
- Kemudahan Asas
JAKOA juga setiap tahun ada memperuntukan sejumlah peruntukan bagi memastikan Masyarakat Orang Asli mendapat kemudahan asas yang sepatutnya iaitu:
- Bekalan Air Terawat di Perkampungan Orang Asli Semenanjung Malaysia
- Program Pembangunan Infrastruktur dan Ameniti Sosial di Perkampungan Orang Asli Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan
- Projek Menaiktaraf, Membaik Pulih Dan Menyelenggara Jalan Raya Di Perkampungan Orang Asli
JAKOA komited dalam memastikan masyarakat Orang Asli mendapat peluang untuk maju, bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga dalam mendapatkan hak mereka untuk menikmati kehidupan yang lebih baik melalui kemudahan asas yang mencukupi.