Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
77) KEBAJIKAN OKU
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Wan Dzahanurin Bin Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan golongan OKU mendapat akses pekerjaaan dan latihan kemahiran?
Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dalam menyantuni golongan Orang Kurang Upaya (OKU) tanpa mengira bangsa, agama mahupun kategori umur dan sentiasa menjadi keutamaan di dalam arus pembangunan negeri. Bagi memastikan golongan OKU mendapat akses pekerjaaan, Jabatan Anak Istimewa Selangor (ANIS) telah mengadakan kerjasama strategik bersama institusi penempatan kerja iaitu PERKESO bagi proses pencarian pekerjaan bagi peserta Independent Living Support Centre (ILSC) yang telah tamat kursus termasuklah bimbingan untuk membantu mereka menyesuaikan diri dalam dunia pekerjaan.
Jabatan ANIS turut berkerjasama dengan Institusi Latihan Kemahiran OKU yang melibatkan sektor awam, swasta dan Badan Bukan Kerajaan termasuklah Society of Families of Persons with Learning Difficulties (PERKOBP), Rumah Amal Cheshire dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang menyediakan 10 bentuk latihan kemahiran. Selain itu, terdapat usaha untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kebolehan OKU dan mempromosikan inklusiviti di tempat kerja melalui kempen kesedaran bagi memastikan golongan OKU diterima di tempat kerja seperti Program Job Coach dan Disability Equality Training yang dilaksanakan di anak syarikat Kerajaan Negeri.
Di peringkat Persekutuan, insentif diberikan kepada majikan-majikan yang mengambil pekerja OKU bagi menggalakkan pengambilan OKU dalam memenuhi target 1 peratus warga OKU dalam setiap jabatan. Antaranya ialah insentif yang diperkenalkan PERKESO kepada majikan iaitu sebanyak RM1,500 bagi setiap individu untuk tempoh 6 bulan sekiranya menggajikan golongan OKU. Bagi menggalakkan OKU terus bekerja, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memperkenalkan insentif Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dengan kadar RM450 sebulan dipertimbangkan kepada Orang Kurang Upaya yang sedang bekerja yang pendapatannya kurang daripada RM1,500 sebulan.