Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
13 Julai 2020 - 16 Julai 2020
114) KEBAJIKAN IBU TUNGGAL
Tahun: 2020
Sesi: 2
Isu: Wanita & Keluarga
Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah ibu tunggal yang direkodkan dalam Negeri Selangor? Mohon bekalkan 3 DUN yang mempunyai bilangan ibu tunggal yang tertinggi.
Berdasarkan laporan terkini jumlah ibu tunggal yang ada di Negeri Selangor, sehingga 9 Julai 2020, pihak Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) telah merekodkan pendaftaran seramai 19,161 orang ibu tunggal di bawah Sistem Pendaftaran Ibu Tunggal.
Tiga DUN di Selangor yang mencatatkan jumlah ibu tunggal yang tertinggi adalah DUN Sungai Tua yang mencatatkan jumlah ibu tunggal berjumlah 744 orang, diikuti DUN Selat Klang seramai 720 orang dan DUN Batang Kali seramai 691 orang ibu tunggal. Namun demikian, angka tersebut tidak mewakili jumlah sebenar keseluruhan ibu tunggal yang ada di Selangor memandangkan laporan tersebut tidak melaporkan status/ taraf perkahwinan terkini seseorang ibu tunggal yang berdaftar itu.
Manakala, tiada jumlah ibu tunggal direkodkan oleh Jabatan Pembangunan Wanita Negeri Selangor berikutan tiada sistem pendaftaran ibu tunggal yang khusus bagi mengumpul data ibu tunggal tersebut.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri untuk membantu meringankan beban ibu tunggal pasca Covid-19?
- Kerajaan Negeri menghargai peranan wanita dan sentiasa prihatin akan kebajikan dan keperluan golongan wanita keseluruhannya termasuklah ibu tunggal terutama dalam mendepani pasca Covid-19 golongan ini.
Pelbagai program dan inisiatif Kerajaan Negeri terutama program-program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) telah tersedia untuk dimanfaatkan sebagai medium permohonan bantuan dan sokongan kepada rakyat yang memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan sama ada melalui program-program kesihatan, pendidikan, perniagaan dan perusahaan mahupun bantuan kepada anak-anak.
Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif dalam menambahbaik pelaksanaan program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) sedia ada untuk dimanfaatkan golongan ibu tunggal melalui program KISS Ibu Tunggal (KISSIT) secara dalam talian (online) untuk dipohon oleh mereka yang berkelayakan.
Selain itu, golongan ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan juga boleh memohon untuk mendapatkan Bantuan Khas Ibu Tunggal (BKIT) yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan sebanyak RM300 secara one-off selewat-lewatnya pada 31 Oktober 2020 dengan mengisi lengkap borang permohonan dan dihantar ke Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Selangor.