Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2008

20 Oktober hingga 24 Oktober 2008 dan 28 Oktober hingga 29 Oktober 2008

15) KEBAJIKAN HAL EHWAL WANITA, TEKNOLOGI DAN INOVASI

Tahun: 2008

Sesi: 3

Isu: Pelaburan

Adun: Y.B. Datuk Abdul Shukur Bin Idrus

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejauh mana / apakah tindakan Kerajaan Negeri dalam meningkatkan tahap pelaburan asing di Negeri Selangor

    Antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk
    meningkatkan tahap pelaburan asing di Negeri Selangor adalah seperti berikut;-
    i. Memastikan iklim pelaburan yang kondusif melalui pelaksanaan dasar pelaburan
    yang pragmatik dan telus untuk memberi keyakinan kepada pelabur asing.
    ii. Konsep Mesra Pelabur yang diterapkan dengan mengadakan lawatan dan
    perjumpaan dengan pihak industri secara berkala bagi mendapatkan maklum
    balas mengenai permasalahan yang dihadapi oleh pihak industri/pelabur di
    Selangor.
    iii. Menaiktaraf infrastruktur di kawasan-kawasan industri serta menyediakan
    kawasan perindustrian yang selesa seperti Selangor Science Park.
    iv. Mempercepatkan proses penyelesaian masalah yang dihadapi pihak industri.
    v. Mempercepatkan proses kelulusan permohonan seperti Permohonan Sijil Layak
    menduduki, Permohonan Kelulusan Pelan Bangunan dan lain-lain kelulusan
    yang diperlukan pihak industri/pelabur menerusi One stop Centre (OSC) yang
    ditubuhkan di setiap PBT.
    vi. Penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Peringkat Negeri dan Daerah bagi
    memantau perlaksanaan projek-projek pelaburan di setiap daerah serta
    mempromosikan peluang-peluang pelaburan di setiap daerah.
    vii. Mempertingkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan di
    semua peringkat, termasuk di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan.
    viii. Penambahbaikan fungsi SSIC bagi memantapkan keupayaan dalam memberi
    perkhidmatan.
    ix. Pemantauan yang lebih kerap untuk projek-projek yang sedang dilaksanakan.
    x. “Hand hold” program.
    xi. Panganjuran dan penyertaan dalam misi-misi pelaburan ke luar Negara.

  2. Mohon penjelasan / status Kerajaan Negeri mengenai Caj RM10.00 yang akan dikenakan kepada pekerja asing di Selangor dan alasan Kerajaan sekiranya cajnya diteruskan mahupun tidak

    Kerajaan Negeri masih mengkaji dasar tersebut

  3. Kerajaan Negeri telah mengumumkan cuti untuk suami yang isterinya bersalin selama 14hari dan warga kerja wanita yang bersalin di beri cuti selama 90hari. Mohon diberi penjelasan terperinci mengenai tarikh berkuat kuasa, kategori serta syarat Ð syarat yang akan dikenakan

    Selaras dengan hasrat Kerajaan Prihatin dan mengutamakan keluarga, Kerajaan Negeri
    Selangor telah bercadang untuk melaksanakan Dasar Baru tentang kemudahan Cuti
    Bersalin 90 hari dan Cuti Isteri Bersalin 14 hari yang mana pelaksanaannya adalah
    seperti berikut :-
    1.1 Cuti Bersalin 90 Hari
    1.1.1 Seseorang pegawai/guru wanita yang berkhidmat di bawah Pentadbiran
    Kerajaan Negeri apabila bersalin akan mendapat Cuti Bersalin
    sebagaimana termaktub di bawah Perintah Am Bab C 25 – pindaan
    seperti mana Pekeliling Perkhidmatan Bil. 2 Tahun 1998. Di bawah
    Dasar Baru mereka diberi opsyen tambahan 30 hari cuti. Tambahan 30
    hari yang dimaksudkan di sini adalah sebagaimana Perintah Am Bab C
    26 (C) – pindaan seperti Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2007
    – Cuti Menjaga Anak. Cuti ini merupakan Cuti Tanpa Gaji dan boleh
    dipertimbangkan sehingga 1,825 hari (5 tahun) maksimum dan dihadkan
    sebanyak 5 kali bersalin dalam tempoh perkhidmatan.
    1.1.2 Walaupun tempoh 30 hari direkodkan sebagai Cuti Menjaga Anak (Cuti
    Tanpa Gaji), Pentadbiran Kerajaan Negeri bersetuju membayar gaji
    penuh pegawai/guru wanita tersebut dan bayaran adalah dikira sebagai
    Insentif Khas Bersalin.
    1.1.3 Pembayaran Insentif Khas Bersalin hanya akan dibayar bagi tempoh 30
    hari sebagai tambahan kepada 60 hari cuti bersalin yang ia berkelayakan
    sahaja walapun pegawai/guru wanita layak mengambil secara maksimum
    sehingga 1,825 hari Cuti Menjaga Anak setelah habis tempoh cuti
    bersalin.
    1.2 Cuti Isteri Bersalin 14 Hari
    1.2.1 Seseorang pegawai lelaki secara automatik akan mendapat Cuti Tanpa
    Rekod selama tujuh (7) hari untuk membantu urusan ketika isterinya
    bersalin sebagaimana Perintah Am Bab C 26 (2) – pindaan seperti
    Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2002. Di bawah Dasar Baru
    ia diberi opsyen tambahan tujuh (7) hari cuti. Tambahan cuti tujuh (7)
    hari yang dimaksudkan ini akan direkodkan sebagai Cuti Tanpa Gaji dan
    tertakluk kepada Perintah Am Bab C 14 (a) dan (b).
    1.2.2 Pentadbiran Kerajaan Negeri akan membayar Insentif Khas Isteri
    Bersalin pada hari-hari di dalam tempoh opsyen tambahan tujuh (7) hari
    tersebut.
    OPSYEN
    2. Bagi pegawai-pegawai yang memilih untuk menerima kemudahan cuti ini
    hendaklah melengkapkan Borang Opsyen.
    3. Opsyen ini hanya sah setelah pegawai menandatangani borang opsyen tersebut
    dan disokong oleh Ketua Jabatan masing-masing.
    4. Setiap keputusan permohonan opsyen bagi cuti-cuti berkenaan adalah
    muktamad.

    5. Ketiga-tiga jenis cuti ini hendaklah direkodkan di dalam Buku Rekod
    Perkhidmatan sebagai Cuti Tanpa Gaji dan tidak layak dikira sebagai
    perkhidmatan yang boleh dimasukkira bagi faedah persaraan. Kerajaan Negeri
    walau bagaimanapun akan memberi bayaran Insentif Khas pada hari-hari di
    dalam tempoh opsyen tambahan cuti tersebut, sebagai ganti kepada kerugian
    yang akan diterima pegawai semasa persaraan kelak.
    TARIKH KUATKUASA
    6. Dasar ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2009.
    PEMAKAIAN
    7. Pentadbiran Negeri bersetuju menerimapakai Dasar ini ke seluruh Jabatan dan
    Agensi Negeri dan dipanjangkan kepada semua Badan Berkanun Negeri serta
    Pihak Berkuasa Tempatan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.