Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023

10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)

180) KEBAJIKAN GELANDANGAN

Tahun: 2023

Sesi: 2

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah gelandangan di Selangor?

    Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor adalah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan Jabatan adalah untuk mengambil orang papa seperti diperuntukkan di bawah Akta 183 tersebut.

    Definisi Orang Papa berdasarkan Seksyen 2 Akta ini ialah:

    1. seseorang yang mengemis; atau
    2. berpeleseran ditempat awam dan tidak dapat menyatakan hal dirinya dengan memuaskan

    JKM melaksanakan operasi bersama dengan agensi penguatkuasa bagi mengambil orang papa melalui operasi yang dijalankan samada secara bersepadu, berkala atau secara ‘ad-hoc’ melalui aduan orang ramai. Dari Januari hingga September 2023 sejumlah 93 operasi telah dijalankan yang melibatkan sejumlah 121 orang iaitu melibatkan 68 warganegara dan 53 orang bukan warganegara.

    Bagi kes orang papa yang melibatkan warganegara, mereka akan diserahkan semula kepada waris/ penjaga. Manakala, bagi kes orang papa yang tiada waris / penjaga, golongan ini ditempatkan di institusi kebajikan atau pusat jagaan NGO.

    Pihak JKM juga turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kes yang memerlukan. Di samping itu juga JKM sentiasa membuat rujukan kes kepada agensi lain yang berkaitan seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pihak Berkuasa Tempatan sekiranya diperlukan.

    Bagi kes orang papa bukan warganegara pula, Jabatan akan merujuk kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Manakala bagi kes-kes orang papa yang berpenyakit mental, pihak Jabatan akan merujuk kes berkenaan kepada pihak hospital dan PDRM untuk diuruskan di bawah Akta Kesihatan Mental 2001 (pindaan 2023).

  2. Adakah Kerajaan Negeri bercadang untuk membina satu pusat perlindungan gelandangan di setiap daerah yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri?

    JKM Negeri Selangor telah mengoperasikan Pusat Sehenti Bina Diri Sg Buloh (Kompleks Penyayang Bakti Sg. Buloh) untuk perlindungan dan pemulihan orang papa yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Persekutuan. Justeru buat masa ini, Kerajaan Negeri tiada perancangan untuk membina pusat perlindungan di setiap daerah khusus untuk gelandangan di Negeri Selangor.

Lampiran

Tiada Lampiran.