Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)
136) KEBAJIKAN DAN KESEJAHTERAAN PENDUDUK
Tahun: 2024
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Preakas A/l Sampunathan
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan Kerajaan Negeri dalam memastikan penduduk Kota Kemuning mempunyai akses kebajikan dan kesejahteraan yang seimbang?
Kerajaan Negeri menerusi Iltizam Selangor Penyayang (ISP) berusaha memastikan akses kebajikan dan kesejahteraan rakyat negeri Selangor termasuk penduduk Kota Kemuning terjamin. Dari aspek kebajikan, terdapat 44 inisiatif ISP yang boleh dimohon oleh penduduk Kota Kemuning yang layak, termasuklah Bantuan Kehidupan Keluarga Sejahtera (BINGKAS), Skim Mesra, Dana Bantuan Guaman Selangor, Iltizam Selangor Sihat, Bantuan Sihat Selangor dan sebagainya. Bagi meningkatkan aksesibiliti, kebanyakan program tersebut boleh diakses secara atas talian sama ada menerusi portal atau aplikasi Selangkah.
Selain itu, terdapat Pejabat Kebajikan Daerah Klang yang berhampiran dengan DUN Kota Kemuning. Setakat ini, jumlah penerima bantuan di DUN Kota Kemuning adalah seramai 615 orang yang telah menerima manfaat bantuan bulanan.
Penduduk Kota Kemuning terutama golongan wanita boleh melibatkan diri dalam aktiviti Pembangunan kapasiti dan Kemahiran yang dianjurkan oleh Penyelia Pusat Wanita Berdaya (PWB) di DUN. Pelbagai aktiviti yang dilaksanakan bagi meningkatkan sosio-ekonomi wanita yang seterusnya memberi kesejahteraan kepada keluarga dan Masyarakat.
-
Bilakah proses pemutihan penduduk PPR Hicom yang terakhir dibuat dan pelan tindakan pemutihan baru akan dilakukan?
Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) dan anak syarikat LPHS iaitu Perumahan Dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB) telah menjalankan operasi bancian unit ke unit PPR Kg. Baru Hicom pada bulan Januari dan Februari 2024. Daripada operasi bancian tersebut, PHSSB telah mengenal pasti unit yang dihuni oleh bukan penama di mana unit diduduki oleh pasangan atau anak-anak kerana penama meninggal. Bagi kes ini PHSSB telah meminta mereka untuk mengisi borang permohonan penyewaan dan akan dipanggil untuk menghadiri sesi temuduga tapisan kelayakan pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian.
Bagi unit yang terlibat dengan sewa atas sewa (kes terpencil), PHSSB telah mengambil tindakan penamatan penyewaan. Manakala penyewa yang gagal membuat bayaran sewa, tindakan menamatkan penyewaan mereka merupakan operasi rutin dan berterusan yang dijalankan oleh PHSSB.
PHSSB juga sedia maklum terdapat unit sewaan PPR setelah penyewaan menduduki beberapa tahun dan pendapatan mereka telah melebihi RM3,000.00 sebulan. Sekiranya terdapat mana-mana unit yang dikenalpasti mempunyai pendapatan melebihi RM3,000.00 sebulan dan pihaknya akan mengambil tindakan untuk tidak membuat pembaharuan kontrak sewaan dimana penyewa tersebut tidak layak untuk menyewa di PPR lagi. Walau bagaimanapun, terdapat rayuan permohonan bagi mempertimbangkan semula untuk terus menyewa di PPR memandangkan pendapatan dikalangan penyewa yang melebihi RM3,000.00 hanya mempunyai peningkatan pendapatan yang tidak ketara sehingga melebihi RM4,000.00 sebulan dan mempunyai tanggungan anak yang ramai.
Berikutan itu, LPHS dan PHSSB dalam proses mengkaji dan mendapatkan mekanisme terbaik bagi menentukan syarat kelayakan pendapatan penyewa dengan mengambil kira kos sara hidup yang semakin meningkat. Berdasarkan sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati had pendapatan bagi golongan B40 di Selangor seperti berikut:
B40 HAD PENDAPATAN PURATA PENDAPATAN (RM) B1 < 3,480 2,750 B2 3,480 – 4,659 4,072 B3 4,660 – 6,839 5,255 B4 5,840 – 6,959 6,421 Perkara ini juga telah dibincangkan dan dipersetujui secara dasar melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Pembangunan Bandar Kelestarian Negeri Selangor Bil 1/2024 pada 30 Mei 2024 berkenaan cadangan untuk menaikkan kelayakan gaji isi rumah berdasarkan kelayakan B40 di Selangor iaitu sehingga RM5,000.00 sebulan.
Sehubungan itu, LPHS akan mengadakan mesyuarat susulan untuk dimuktamadkan dan seterusnya mengangkat kertas cadangan tersebut untuk pertimbangan kepada pihak Kerajaan Negeri dan Lembaga Pengarah LPHS.
-
Adakan Kerajaan Negeri mempunyai sebarang idea untuk mengadakan satu platform kedai runcit serbaguna yang mempunyai barang keperluan asas yang bersubsidi?
Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) telah membuka platform kedai runcit serbaguna dengan jenama EHSAN Mart yang menjual barang keperluan asas terpilih dengan harga subsidi. PKPS melalui anak syarikat PKPS Ehsan Marketing Sdn. Bhd. (PEMSB) menyasarkan akan membuka outlet EHSAN Mart di setiap daerah dalam tahun 2024 – 2025.
Bagi tahun 2024 sebanyak 6 outlet akan dibuka antaranya di Bagan Nakhoda Omar, Tanjong Sepat dan Rawang. PEMSB juga akan menambah SKU daripada 35 ke 50 produk asas untuk dipasarkan di dalam outlet EHSAN Mart dalam tahun 2024.
Di samping itu, Kerajaan Persekutuan melalui KPDN telah melaksanakan Jualan RAHMAH di pasaraya terpilih dalam Negeri Selangor bagi memberi peluang kepada golongan sasar terutamanya B40 membeli barangan keperluan pada harga yang lebih rendah daripada pasaran. Pengurangan harga sehingga 30% ke atas barang yang terpilih dapat dinikmati oleh rakyat melalui inisiatif ini.
Sehingga Jun 2024, terdapat 8 pasar raya yang telah melaksanakan Jualan RAHMAH di premis mereka sendiri iaitu Segi Fresh, Lotus’s, Econsave, Billion, Asia Mart, Super Value, Desa Segar dan GT Mart. Sebanyak 213 kali jualan di premis telah dicatatkan bermula Januari 2024 sehingga Jun 2024 dengan anggaran 1.5 juta rakyat Negeri Selangor menerima manfaat daripada Jualan RAHMAH ini.