Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
139) KEBAJIKAN BAGI WARGA OKU
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Gunarajah A/l R George
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah bilangan golongan OKU berdaftar di DUN Sentosa?
Untuk makluman Yang Berhormat Sentosa, daripada jumlah keseluruhan 99,897 orang Orang Kurang Upaya (OKU) di Negeri Selangor, seramai 1,426 orang adalah OKU berdaftar di DUN Sentosa. Kategori OKU yang paling ramai berdaftar di DUN Sentosa ialah OKU Fizikal 641 orang iaitu 45 peratus daripada jumlah OKU berdaftar di DUN Sentosa. Berikut merupakan bilangan OKU mengikut kategori OKU yang berdaftar di DUN Sentosa :
Bil Kategori OKU Bilangan OKU 1. OKU Fizikal 641 2. OKU Pembelajaran 397 3. OKU Penglihatan 113 4. OKU Mental 109 5. OKU Pelbagai 85 6. OKU Pendengaran 75 7. OKU Pertuturan 6 Jumlah Keseluruhan 1,426 Sumber : JKM Selangor
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah gelandangan di Selangor?
Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor sentiasa prihatin berhubung isu gelandangan di Selangor. JKM adalah agensi yang dipertanggungjawabkan dalam menguatkuasakan Akta Orang-Orang Papa 1977 [Akta 183] di mana peranan jabatan adalah untuk menyelamatkan orang papa dalam kalangan warganegara seperti orang berpeleseran dan pengemis.
Orang papa yang mempunyai waris akan diserahkan semula kepada waris/ penjaga dan bantuan kewangan secara bulanan akan diberikan sekiranya memenuhi kelayakan. Manakala, bagi kes orang papa yang tiada waris/ penjaga, golongan ini akan ditempatkan di pusat jagaan Badan Bukan Kerajaan (NGO) atau institusi kebajikan.
Pihak JKM sentiasa membuat rujukan kes kepada agensi lain yang berkaitan seperti Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Agama Islam Negeri, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Pihak Berkuasa Tempatan, sekiranya kes-kes tersebut memerlukan bantuan-bantuan lain seperti bantuan kewangan, bantuan sewa rumah, bantuan pekerjaan dan lain-lain bantuan yang bersesuaian selain turut menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada kes yang memerlukan.
Kes orang papa bukan warganegara adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Imigresen untuk tindakan selanjutnya. Manakala bagi kes-kes orang papa yang berpenyakit mental, adalah tertakluk di bawah Akta Kesihatan Mental 2001
-
Apakah tindakan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi membantu golongan warga emas dan OKU yang tidak layak untuk bantuan kebajikan selain SMUE?
Bagi membantu golongan warga emas dan OKU yang tidak layak untuk bantuan kebajikan selain Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, JKM Selangor turut menyediakan skim-skim bantuan kewangan untuk dimanfaatkan oleh golongan ini seperti berikut :
- Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) dengan kadar RM450.00 sebulan dipertimbangkan kepada OKU yang sedang bekerja yang pendapatannya kurang daripada RM1,500.00 sebulan sebagai insentif supaya mereka terus bekerja;
- Bantuan Orang Kurang Upaya Tidak Berupaya Bekerja (BTB) dengan kadar RM300.00 sebulan dipertimbangkan kepada OKU yang tidak berupaya bekerja kerana keadaan kecacatan mereka yang teruk dan tidak berupaya bekerja;
- Bantuan Penjagaan Orang Kurang Upaya Terlantar dan Pesakit Kronik Terlantar (BPT) dengan kadar RM500.00 seorang sebulan dipertimbangkan kepada penjaga OKU Terlantar atau Pesakit Kronik Terlantar bagi mengurangkan bebanan perbelanjaan keluarga penjaga serta mempastikan penjagaan yang berkualiti;
- Bantuan Alat Tiruan/ Sokongan dengan kadar sebenar alat tiruan/ sokongan tersebut bagi membantu kumpulan sasar JKM yang tidak berkemampuan untuk membeli alat tiruan atau alat sokongan seperti kaki palsu, kerusi roda, alat pendengaran, dan lain-lain peralatan yang bersesuaian dan disyorkan oleh Pegawai Perubatan;
- Bantuan Warga Emas (BWE) dengan kadar RM500.00 sebulan dipertimbangkan kepada warga emas yang tidak mempunyai pendapatan untuk meneruskan kehidupan harian; dan
Bantuan Am Negeri dengan tiga (3) kadar iaitu RM250.00, RM300.00 atau RM350.00 sebulan dipertimbangkan kepada keluarga miskin dan kumpulan sasar lain yang memerlukan.