Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025

18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025

334) KEBAJIKAN ANAK YATIM

Tahun: 2025

Sesi: 1

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Mohd Shafie Bin Ngah

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar Kerajaan Negeri mengenai anak yatim yang berkait antara lain mengenai status kelahiran, penjagaan dan pendidikannya?

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa prihatin dan mengambil serius tentang kebajikan kanak-kanak walaupun tidak mempunyai dasar yang khusus bagi anak yatim.

    Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun 2011 telah menubuhkan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) bagi tujuan menjaga hal ehwal anak-anak yatim Negeri Selangor yang sebelum ini di bawah pengurusan Bahagian Harta Baitulmal MAIS.

    Dasar Anak-Anak Yatim YIDE ialah asas yang menjadi rujukan dan panduan dalam menguruskan hal ehwal anak-anak yatim YIDE melibatkan pendaftaran, penyerahan sumbangan, serta aktiviti dan program pembangunan yang berkaitan dengan anak-anak yatim di Negeri Selangor untuk menjamin anak-anak yatim YIDE menerima hak mereka yang sebenar dan sewajarnya.

    Anak Yatim yang kematian bapa kandung (yatim) atau kematian ibu dan bapa (al-latim : yatim piatu) layak untuk didaftarkan di bawah seliaan YIDE.

    Jenis-jenis bantuan yang diberikan adalah seperti sumbangan One Off berbentuk Kelengkapan Persekolahan, Yuran Sekolah/Pengajian, bantuan makanan, bantuan perubatan, Kesihatan, sumbangan Hari Raya Aidilfitri dan program Pembangunan melalui Kursus Motivasi, Kepimpinan, Kelas Al-Quran & Fardhu Ain dan Asas Keusahawanan.

    Anak-anak yatim yang mencapai usia 18 tahun diwajibkan menyertai kursus latihan kemahiran di STDC. Ini bagi memastikan mereka memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, dan perniagaan untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat belajar.

Lampiran

Tiada Lampiran.