Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

6) KEBAJIKAN ANAK PEKERJA LADANG DI SELANGOR

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan statistik anak-anak pekerja ladang mengikut pecahan daerah.

    Untuk makluman Yang Berhormat Sekinchan, Kerajaan Negeri Selangor setakat ini tidak mempuyai data khusus berhubung statistik anak-anak pekerja ladang di Negeri Selangor. Namun begitu, anak-anak pekerja ladang yang telah menerima bantuan di bawah program-program anjuran Kerajaan Negeri di bawah Jawatankuasa Tetap Pekerja Ladang sejak tahun 2008 adalah seramai 22,225 orang yang direkodkan.

    Jumlah tersebut adalah merangkumi penganjuran beberapa buah program di bawah Portfolio Program Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang. Di bawah portfolio ini, sasaran utama ditumpukan bagi membantu anak-anak pekerja ladang di Negeri Selangor ke arah mendapatkan pendidikan yang sempurna dalam memajukan diri di masa hadapan.

    Di antara program-program yang terdapat di bawah portfolio ini adalah seperti berikut :

    • Sumbangan Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah

    Pemberian wang RM300.00 kepada setiap anak pekerja ladang yang layak mengikut kriteria permohonan bagi setiap tahun.

    • Bantuan Yuran Pengajian (IPTA/IPTS) di Malaysia

    Bantuan Yuran Pengajian maksima sebanyak RM5000.00 setiap pelajar yang layak mengikut kriteria permohonan bagi satu jurusan bagi mengurangkan bebanan yuran pengajian anak-anak kepada ibu bapa.

    • Program Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Ujian Peperiksaan Sekolah Rendah (UPSR)

    Penyampaian wang adalah berdasarkan keputusan UPSR yang diperolehi oleh pelajar terbabit. Ia dilaksanakan sebagai penghargaan kepada anak-anak pekerja ladang yang telah berjaya dan secara tidak langsung mengurangkan beban kos sara hidup kepada ibu bapa yang pekerja ladang.

    • Program-program Motivasi Anak Pekerja Ladang (Program Ad-Hoc)

    Dilaksanakan bagi meningkatkan motivasi, pendidikan dan persediaan menghadapi UPSR di kalangan anak pekerja ladang di dalam menimba ilmu pendidikan di Sekolah-Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil).

    Kerajaan Negeri juga senantiasa peka dan maklum akan keperluan anak-anak pekerja ladang khususnya yang menetap di Negeri Selangor. Kesungguhan dan komitmen Kerajaan Negeri dapat dilihat dengan penganjuran pelbagai program yang bertujuan untuk meningkatkan taraf pendidikan dan memupuk kesedaran kepentingan pendidikan di kalangan anak-anak pekerja ladang selaras dengan keperluan semasa.

    Salah satu perancangan jangka panjang Kerajaan Negeri terhadap anak-anak pekerja ladang adalah mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih selasa dan kondusif. Dengan adanya persekitaran pembelajaran yang lengkap, secara tidak langsung dapat menarik minat anak-anak pekerja ladang untuk menimba ilmu pengetahuan. Komitmen Kerajaan Negeri berhubung perkara ini dapat dilihat dengan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Midlands. Melalui pelaksanaan projek tersebut, ia telah membantu anak-anak pekerja ladang untuk menerima pendidikan yang sempurna dengan kemudahan-kemudahan dan teknologi terkini melalui persekitaran pembelajaran yang lebih selamat, selesa dan kondusif. Secara tidak langsung, dengan adanya kemudahan-kemudahan pembelajaran dan akses kepada maklumat pendidikan terkini, ia dapat mendorong dan memupuk minat anak-anak pekerja ladang untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta untuk mecapai cita – cita.

    Komitmen Kerajaan Negeri juga dapat dilihat dengan peruntukan RM4 juta setiap tahun daripada 2008 sehingga 2016 kepada Sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) di seluruh Negeri Selangor berhubung infrastruktur sekolah yang diletakkan di bawah YB EXCO Pendidikan. Bagi tahun 2017, peruntukan ini telah dinaikkan kepada RM5 juta setahun

    Secara tidak langsung, anak-anak pekerja ladang ini dapat memperluaskan bidang pekerjaan dan membantu keluarga meningkatkan taraf sosio-ekonomi dengan menggunakan ilmu pengetahuan dan pendidikan yang sempurna dan teratur telah mereka perolehi dan pelajari. Di samping itu, Kerajaan Negeri Selangor akan terus membantu dan menambahbaik program-program sedia ada yang memberi manfaat besar kepada anak-anak pekerja ladang sepertimana disebutkan di atas demi membantu mereka untuk mengurangkan kos sara hidup dan memastikan mereka terus berdaya saing dan maju pada masa-masa akan datang.

     

  2. Sila senaraikan bantuan dan kemudahan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada anak-anak pekerja ladang

    Sama seperti di SUB(a)

  3. Sila nyatakan apakah perancangan jangka panjang bagi meningkatkan taraf sosial ekonomi dan pendidikan golongan tersebut?

    Sama seperti di SUB(a)

Lampiran

Tiada Lampiran.