Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
146) KEADAAN KERETA BURUK TERSIDAI
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Yew Jia Haur
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah rancangan pihak kerajaan dalam membantu melupuskan kereta-kereta terbiar di Negeri Selangor, memandangkan banyak depoh simpanan kenderaan ditunda di semua PBT sudah penuh?
Kenderaan-kenderaan yang terbiar diuruskan mengikut Akta Jalan Parit Dan Bangunan 1974 (Akta 133) di bawah seksyen-seksyen seperti berikut:-
- Seksyen 46(1)(e) : Denda kerana meletakkan kenderaan terbiar di tempat awam;
- Seksyen 46(3)(a) : Kuasa memindahkan halangan oleh PBT; dan
- Seksyen 116 : Kuasa melupuskan barang-barang yang dipindahkan oleh PBT
Walau bagaimanapun, tindakan memindahkan dan melupuskan kenderaan-kenderaan terbiar yang tidak dituntut ini menimbulkan isu di mana proses pembatalan pendaftaran kenderaan yang dilakukan oleh PBT tidak dapat diintegrasikan dengan sistem pendaftaran kenderaan JPJ. PBT juga boleh disaman oleh pemilik kenderaan kerana pelucutan hak ke atas kenderaan tidak dibuat terlebih dahulu.
Sejak tahun 2020, sebahagian PBT telah menambah baik SOP dengan mendapatkan dahulu perintah lucut hak daripada mahkamah dan pembatalan pendaftaran kenderaan berdasarkan perintah mahkamah telah dilaksanakan. Ini adalah bagi mengelakkan timbul isu-isu lain yang berkaitan kelak.
-
Apakah kompaun untuk mereka yang meninggalkan kereta terbiar akan dikaji semula?
Kompaun kenderaan terbiar adalah merujuk kepada kesalahan di bawah seksyen 46(1)(e) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974. Perancangan untuk dibuat kajian semula bagi kadar kompaun kesalahan tersebut adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan. Ini kerana sebarang pindaan kepada kadar denda kesalahan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan khususnya bagi pindaan peruntukan Akta tersebut.
-
Adakah Kerajaan Negeri mengadakan rancangan dan polisi untuk membantu mereka (penduduk) yang ingin melupuskan kenderaan yang telah rosak dan tidak dapat dibaiki?
Penduduk boleh menghubungi mana-mana pihak yang menjual dan membeli kenderaan terpakai untuk menjual kenderaan mereka yang tidak lagi ingin digunakan. Kerajaan Negeri berpandangan adalah wajar pemilik kenderaan tersebut mengambil tindakan sewajarnya ke atas kenderaan-kenderaan yang dimiliki.