Mesyuarat Kedua (Bajet) Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
26 November 2021, 29 November - 30 November 2021, 1 Disember - 3 Disember 2021 dan 6 Disember - 9 Disember 2021
104) KAWASAN WARISAN NEGARA DI SELANGOR
Tahun: 2021
Sesi: 2
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah Kuala Kubu Bharu akan/telah didaftarkan sebagai kawasan warisan negara? Jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Pihak Majlis Perbandaran Hulu Selangor bersama dengan pihak PlanMalaysia Selangor telah menjalankan kajian bagi mengenalpasti Outstanding Universal Value (OUV) untuk melihat sama ada Kuala Kubu Bharu boleh diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO. Berdasarkan kajian berkenaan Kuala Kubu Bharu masih belum kuat untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia namun dicadangkan untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Negara.
Pihak Majlis telah berbincang dengan Jabatan Warisan Negara (JWN) bagi proses pengwartaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 [Akta 645]. Pihak JWN meminta pewartaan dibuat mengikut bangunan – bangunan yang telah dikenalpasti dan bagi memelihara Bandar Kuala Kubu Bharu pihak Majlis diminta menyediakan Rancangan Kawasan Khas yang mengandungi zon teras dan zon penampan dan garispanduan pemeliharaan yang lengkap. Penyediaan RKK ini telah siap dan telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Perancang Negeri bagi tujuan pewartaan dan pemakaian.
-
Nyatakan bandar atau pekan di Selangor yang telah didaftarkan sebagai kawasan warisan negara.
Dua bangunan warisan telah dimasukkan ke dalam Senarai Warisan Kebangsaan dan telah menerima plak dari JWN iaitu Masjid Warisan Al-Hidayah Ampang Pechah dan Balai Traffik Ibupejabat Polis Hulu Selangor.
PADAT
a) Pada masa ini Bandar Kuala Kubu Bharu belum didaftarkan sebagai kawasan warisan negara, namun terdapat beberapa monumen, bangunan dan tapak sejarah yang terletak di bandar Kuala Kubu Bharu telah diwartakan sebagai Warisan Negeri Selangor dan beberapa lokasi di Kuala Kubu Bharu juga telah tersenarai dalam inventori tapak warisan (bangunan/monumen) Jabatan Warisan Negara. Butirannya adalah seperti berikut:
SENARAI TAPAK WARISAN NEGERI SELANGOR DALAM BANDAR KUALA KUBU BHARU, HULU SELANGOR YANG TELAH DIWARTAKAN DALAM AKTA WARISAN KEBANGSAAN 2005
Bil. Tapak/Bangunan No. Warta Tarikh Warta 1. Masjid Ampang Pecah (Masjid Lama Al-Hidayah) Ampang Pecah, 44000 Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor, Selangor P.U. (B) 299 21/9/2012 2. Makam Saiyid Mashor bin Mohammad. Ash-Shahab, Kuala Kubu Bharu P.U. (A) 261 P.U. (B) 185 11/9/1980 14/4/1983 3. Bekas Bangunan Gereja (Pejabat Polis Cawangan Trafik) Jalan Bukit Kerajaan, Bandar Kuala Kubu Bharu, Selangor P.U. (B) 275 10/07/2015 SENARAI INVENTORI TAPAK WARISAN (BANGUNAN/MONUMEN) NEGERI SELANGOR DARUL EHSAN DI BANDAR KUALA KUBU BHARU, HULU SELANGOR
- Bangunan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Kubu Baru, Jalan Bukit Kerajaan
- Balai Bomba Lama, Jalan Dato’ Tabal, Kuala Kubu Baharu
- Pejabat Pos Kuala Kubu Baharu
- Bangunan Stesen Keretapi Kuala Kubu Baru, Jalan Kuala Kubu, Kampung Kelapa, Ampang Pecah, Kuala Kubu Baharu
- Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Kuala Kubu Baharu
- Bangunan Polis Gerak Khas Kuala Kubu Bharu (IPD Hulu Selangor)
- Deretan Bangunan Kedai Lama, Jalan Dato’ Abdul Hamid, Kuala Kubu Bharu
- Menara Jam, Jalan Bukit Kerajaan, Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor
* Senarai inventori adalah senarai tapak-tapak warisan yang telah dicalonkan dan sedang dalam proses penyelidikan dan penilaian untuk dipertimbangkan atau disyorkan sebagai tapak warisan.
b) Buat masa ini belum ada bandar atau pekan dalam Negeri Selangor yang telah didaftarkan sebagai kawasan warisan negara. Namun, pihak Jabatan Warisan Negara sedang melaksanakan proses pewartaan di beberapa tapak warisan di Pekan Batu Arang, Gombak untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan. Pihak Berkuasa Negeri juga telah memberi keizinan berhubung perkara ini melalui keputusan MMKN pada 20 Oktober 2021.
Terdapat 10 tapak-tapak di Batu Arang yang terlibat dalam pewartaan ini iaitu:
- Terowong Arang Batu dan Airshaft Building, Batu Arang
- Sekolah Kebangsaan Cina, Batu Arang
- White House (Mes Pegawai Tentera)
- Pejabat Pos Batu Arang
- Berek Askar Gurkha, Batu Arang
- Bangunan Kelab Sukan Pekerja Lombong
- Rumah Kelab Eropah, Batu Arang
- Sekolah Tunku Abdul Rahman, Batu Arang
- Rumah Semboyan Keretapi, Batu Arang
- Pejabat Malayan Colleries Ltd, Batu Arang
Selain itu terdapat juga satu tapak warisan iaitu Taman Warisan Lombong Negara di Dengkil yang juga telah diberikan keizinan oleh Pihak Berkuasa Negeri untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan melalui keputusan yang sama seperti di atas.
Dengan penetapan tapak-tapak di lokasi ini sebagai Warisan Kebangsaan, ia akan melengkapkan pelaksanaan Kajian Rancangan Kawasan Khas (RKK) Batu Arang oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD).
Selain dari itu, terdapat beberapa lagi kawasan yang sedang dalam proses pelaksanaan kajian bagi mengenal pasti bandar dan pekan-pekan dalam negeri Selangor yang mempunyai warisan sejarah yang berpotensi untuk diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan menerusi pelaksanaan kajian Rancangan Kawasan Khas Bandar Malawati, Kuala Selangor, Rancangan Kawasan Khas Bandar Kuala Kubu Bharu 2025 dan Kajian Geopark Gombak-Hulu Langat yang diselaraskan oleh Plan Malaysia. Pihak PADAT juga terlibat secara langsung dalam program-program ini dan berperanan sebagai ahli jawatankuasa teknikal, penyelidikan dan promosi.