Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

17 Ogos - 20 Ogos 2015

93) KAWASAN TANAH MILIK KERAJAAN NEGERI DAN PUSAT DI KOTA DAMANSARA

Tahun: 2015

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Halimaton Saadiah Binti Bohan

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Nyatakan keluasan tanah yang dimiliki oleh Kerajaan Negeri atau Pusat yang masih tidak digunakan di Kota Damansara?

    Secara keseluruhannya, Kota Damansara telah menjalani pembangunan yang pesat dan tanah-tanah yang diberimilik telah dimajukan dan melalui proses serah balik dan berimilik semula. Tanah-tanah yang telah diserahbalik oleh pemaju mengikut kelulusan Kebenaran Merancang yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kebanyakannya telah dirizabkan atau dijadikan tanah simpanan sama ada untuk kegunaan awam atau diberimilik kepada Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP). Berdasarkan semakan Pejabat Daerah Tanah Petaling, berikut merupakan pecahan mengikut keluasan tanah-tanah simpanan/rizab Kerajaan Negeri dan Tanah Hakmilik PTP.

    Bil Jenis Kegunaan Tanah Status Tanah Jumlah Keluasan (Hektar) Bilangan Tapak Sedia Ada
    1 Tapak Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Hakmilik PTP 82.27 29
    2 Tapak Surau Tanah Rizab 5.39 19
    3 Dewan Orang Ramai Tanah Rizab 1.86 11
    4 Kawasan Hijau Tanah Rizab 115.34 494
    5 Kawasan Rekreasi Tanah Rizab 10.54 4
    6 Kawasan Lapang Tanah Rizab 214.10 317

    Keseluruhan tanah yang diserah balik untuk kegunaan awam telah dibangunkan mengikut kegunaan tanah sedia ada. Tanah simpanan/rizab Kerajaan Negeri akan diwartakan untuk kegunaan awam. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan dilantik sebagai Pegawai Pengawal bagi tanah yang diwartakan dan seterusnya diurus tadbir oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

  2. Nyatakan perancangan bagi kegunaan tanah yang masih belum digunapakai dalam jangka masa terdekat?

    Keseluruhan tanah di kawasan Kota Damansara telah dimajukan dan diluluskan Kebenaran Merancang oleh MBPJ. Justeru Itu, tanah-tanah yang terdapat di kawasan ini telah dibangunkan secara terancang. Tanah-tanah untuk kegunaan awam yang telah diserah balik akan diwartakan. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor akan dilantik sebagai Pegawai Pengawal bagi tanah yang diwartakan dan seterusnya diurus tadbir oleh MBPJ.

Lampiran

Tiada Lampiran.