Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

223) KAWASAN SEMAK SAMUN DI RUMAH KOSONG/TANAH LAPANG

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Leong Tuck Chee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri atau Kerajaan boleh mengambil tindakan undang-undang jika pemilik rumah/tanah jika degil membersihkan kawasan yang penuh dengan sampah atau semak samun?

    1. Tindakan boleh diambil di bawah kacauganggu Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan 1976 dengan ada pengadu dan saksi. Mengikut prosedur kerja (SOP) premis/tanah terbiar, sekiranya pemilik degil membersihkan kawasan yang penuh dengan sampah atau semak samun selepas menerima notis, tindakan undang-undang yang boleh diambil ialah samada didenda tidak melebihi satu ribu ringgit atau tindakan undang-undang pendakwaan dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya di bawah Seksyen 82(5) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

     

    Sehubungan dengan itu, PBT boleh mengambil tindakan kepada pemilik yang ingkar membersihkan kawasan yang dipenuhi sampah semak samun seperti berikut:

     

    1. PBT mengeluarkan Notis Kacauganggu kepada pemilik rumah/ tanah persendirian yang mempunyai masalah semak-samun;

     

    1. Sekiranya tiada tindakan pembersihan oleh pemilik dan tempoh notis telah tamat, kompaun akan dikeluarkan terhadap pemilik premis;

     

    • PBT akan membuat pembersihan dan kos pembersihan akan dibilkan kepada pemilik premis.

     

  2. Bolehkah kerajaan menyita rumah/lot yang disebut di atas jika pemilik rumah/tanah gagal berbuat demikian?

    Bagi kes-kes rumah atau tanah tidak dijaga dengan sempurna oleh pemilik berdaftar tanah atau pemilik kediaman, pihak Pejabat Daerah Dan Tanah tidak boleh menyita tanah atau rumah tersebut, ini kerana:

     

    1. Seksyen 116 Kanun Tanah Negara 1965 menyatakan syarat-syarat tersirat yang menyentuh tanah yang tertakluk kepada kategori “bangunan”. Seksyen 116(c) Kanun Tanah Negara 1965 pula menyatakan bahawa tiap-tiap bangunan di atasnya hendaklah dijaga dengan baik.
    2. Namun begitu, segala tindakan hendaklah mematuhi peruntukan di bawah seksyen 89(b) Kanun Tanah Negara 1965 yang menyatakan bahawa apa-apa syarat, sekatan kepentingan dan peruntukan-peruntukan lain hendaklah dinyatakan di dalam suratan hak milik.

     

    Tindakan penguatkuasaan boleh diambil sekiranya syarat-syarat tersirat seperti yang ternyata di bawah seksyen 115, 116 dan 117 dalam Kanun Tanah Negara 1965 dinyatakan dalam hak milik.

Lampiran

Tiada Lampiran.