Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017
45) KAWASAN RUMAH TERBIAR DAN TIDAK BERPENGHUNI
Tahun: 2017
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila butirkan rumah terbiar yang telah dirampas oleh Kerajaan Negeri pada penggal ini.
Pada tahun ini, tiada rumah terbiar yang telah dirampas oleh Kerajaan Negeri. Perampasan tanah yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri buat masa ini adalah mengikut Seksyen 100 bagi kegagalan pembayaran cukai dan berdasarkan Seksyen 127 hingga Seksyen 130 Kanun Tanah Negara (KTN) bagi tanah- tanah yang melanggar syarat.
-
Apakah kriteria kerajaan untuk merampas rumah terbiar, yang menjadi kacau ganggu kepada kawasan kediaman tersebut?
Mengikut Seksyen 100 KTN memperuntukkan bahawa tindakan pelucuthakan boleh diambil sekiranya tiada cukai yang dibayar oleh mana-mana pemunya tanah yang telah diberi milik dan dianggap sebagai tunggakan. Pentadbir Tanah seterusnya boleh melucuthakan tanah tersebut menjadi Tanah Kerajaan. Manakala di bawah Seksyen 127-130 KTN, Kerajaan Negeri boleh melucuthakan mana-mana tanah yang telah melanggar syarat nyata tanah tersebut.