Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
333) KAWASAN PEMBINAAN SELAMAT
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah prosedur PBT bagi menjamin kawasan pembinaan yang selamat kepada penduduk?
Bagi menjamin kawasan pembinaan yang selamat PBT mewajibkan setiap pemaju projek pembangunan mematuhi perkara-perkara seperti berikut :-
- Pagar keselamatan hendaklah dibina disekeliling tapak pembinaan dan kawasan rumah kongsi untuk memisahkan kawasan pembinaan dengan kawasan awam. Kawasan yang sering menjadi laluan orang awam hendaklah dilengkapi dengan laluan berbumbung ‘hood’ yang menutupi kaki lima/ laluan pejalan kaki bagi mengelakkan kecederaan.
- Jaring keselamatan hendaklah dipasang di sekeliling bangunan secara keseluruhan bermula dari pelantar perangkap yang pertama sehingga ke tingkat yang tertinggi yang sedang dalam pembinaan bagi pembangunan yang melebihi 5 tingkat.
- Menyediakan seorang penyelia yang perlu sentiasa berada di tapak semasa kerja-kerja dijalankan. Butiran seperti nama dan nombor telefon penyelia tersebut hendaklah diserahkan ke PBT.
- Memastikan kebersihan di tapak dan jalan tidak kotor dan menyediakan ‘wash trough’ di pintu masuk agar lori dapat membersihkan tayar sebelum keluar dari tapak pembinaan.
- Menitikberatkan aspek-aspek keselamatan seperti yang diperuntukkan di dalam Akta CIDB (Akta 520).
- Menyediakan lampu limpah di tapak pembinaan bagi pembinaan yang telah mendapat kelulusan kerja waktu malam.
- Menyediakan ‘blinkers’ di jalan keluar masuk ke tapak.
- Mengemukakan jadual semburan asap ke Jabatan Perkhidmatan Bandar bagi mengelakkan pembiakan nyamuk Aedes di tapak binaan
- Mengemukakan jadual kutipan sampah di rumah-rumah pekerja
- Memastikan sisa kumbahan dimasukkan ke tangki septik bukan ke longkang awam
- Memastikan tapak pembinaan tidak menghasilkan sebarang pencemaran bunyi melebihi dari 60 dB tahap bunyi yang dibenarkan oleh Jabatan Alam Sekitar.
-
Apakah langkah untuk memastikan kawasan pembinaan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes?
Bagi memastikan kawasan pembinaan tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes, terdapat beberapa langkah yang perlu dipatuhi agar pencegahan awal dapat dibuat sebelum terjadinya tempat pembiakan. Antara langkah yang strategik adalah seperti di bawah :-
- Pihak pengurusan projek pembinaan dikehendaki melantik pihak syarikat kawalan serangga makhluk perosak bagi menjalankan aktiviti ’larvaciding’ bagi menghapuskan jentik-jentik Aedes dan menjalankan aktiviti semburan ruang thermal atau ’fogging’ bagi menghapuskan nyamuk dewasa di kawasan pembinaan secara berkala iaitu sekali dalam tempoh sebulan.
- Pihak projek pembinaan hendaklah menjalankan kerja-kerja pembersihan di dalam kawasan pembinaan secara berjadual bertujuan mencari, mengenalpasti dan memusnahkan bekas-bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik Aedes.
- Pihak projek pembinaan hendaklah melantik syarikat kutipan sampah domestik dan sisa pepejal bagi melupuskan sampah secara berjadual dan menyediakan tong sampah yang mencukupi di kawasan pembinaan.
- Pihak pengurusan projek pembinaan dikehendaki menghantar laporan aktiviti pencegahan dan kawalan demam Denggi sekali sebulan kepada pihak berkuasa tempatan sehingga projek pembinaan siap.
-
Apakah langkah mengelakkan kes lemas di takungan air kawasan pembinaan?
Kawasan pembinaan termasuk takungan air adalah kawasan larangan untuk orang awam yang tidak mempunyai sebarang urusan rasmi. Pihak Majlis melalui Jabatan Bangunan telah menguatkuasakan pemasangan dinding pemisah (hoarding) disekeliling kawasan pembinaan sebagai salah satu syarat yang perlu dipatuhi oleh pemaju sebelum sebarang aktiviti pembinaan boleh dimulakan.