Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

159) KAWASAN LAPANG

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapakah jumlah dan keluasan tanah lapang yang telah diwarta di PBT- PBT?

    Jumlah dan keluasan tanah lapang yang telah dilaporkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil.3/2012 pada 5 Jun 2012 mengikut PBT sehingga April 2012 adalah seperti berikut:-

    Pihak Berkuasa   Kawasan Lapang Yang Telah Diwartakan
    Tempatan     Bil. Kawasan   Anggaran Luas (ekar)
    MBSA   240 197.80
    MBPJ   442 2,072.00
    MPK   394 353.70
    MPAJ   106 136.94
    MPKJ   1,459 1,178.00
    MPSJ   151 598.80
    MPS   107 122.83
    MPSp   37 34.67
    MDKL   89 80.70
    MDKS   86 89.46
    MDHS   3 21.75
    MDSB   9 65.45
  2. Adakah kerajaan negeri berhasrat membangunkan tanah-tanah tersebut jika bernilai dari sudut komersil?

    Syarat utama tanah rizab di bawah Seksyen 62 Kanun Tanah Negara ialah ianya tidak boleh dilupuskan secara pemberimilikan (pindahmilik) dan tidak boleh digunakan untuk apa-apa maksud selain daripada yang telah dirizabkan. Bagi tanah-tanah yang telah dirizabkan bagi tujuan awam iaitu kawasan lapang, maka secara dasarnya tanah tersebut tidak boleh didirikan di atasnya apa-apa struktur bangunan memandangkan ianya akan mengatasi tujuan asal tanah tersebut dirizabkan iaitu untuk kawasan lapang.

    Namun demikian terdapat beberapa pengecualian kepada sekatan di atas antaranya tanah rizab dibolehkan untuk dipajakkan (Seksyen 63 KTN), dibenarkan untuk mencabut dan memindah bahan batuan di atasnya (Bab 3 KTN) dan dibenarkan untuk menggunakan ruang udara di atasnya (Bab 4). Tetapi pengecualian-pengecualian ini tertakluk kepada kehendak dan syarat-syarat yang dinyatakan dalam manamana peruntukan itu.

  3. Adakah Kompleks Sukan PKNS di SS7 Kelana Jaya telah digazet sebagai kawasan lapang?

    Berdasarkan pelan susunatur yang diluluskan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor pada tahun 1980an tanah tersebut diluluskan sebagai ‘Kelab dan Padang PKNS’. Tanah ini merupakan tanah persendirian dengan hakmilik sementara dikeluarkan pada tahun 2006 (Lot 36473) dan pada tahun 2008 (Lot PT.235) dengan syaratnyata ‘Bangunan Perniagaan’.

    Berdasarkan peruntukan Seksyen 62 Kanun Tanah Negara, pewartaan bagi maksud awam boleh dibuat ke atas tanah kerajaan sahaja. Memandangkan tanah ini merupakan tanah persendirian hakmilik PKNS, Kerajaan Negeri tidak boleh mewartakan tanah tersebut.

Lampiran

Tiada Lampiran.