Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
148) KAWASAN HIJAU (GREEN AREA)
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Senaraikan kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan hijau oleh Kerajaan Negeri.
Berdasarkan semakan dan penelitian yang dilaksanakan, tiada istilah kawasan hijau yang digunapakai ke atas klasifikasi zon di bawah mana-mana peruntukan dan tatacara yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri, sebaliknya istilah yang digunakan adalah kawasan lapang. Kawasan yang diklasifikasikan sebagai kawasan lapang adalah seperti yang termaktub dalam :
- Kanun Tanah Negara (KTN) 1965
Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 yang menyatakan bahawa semua kawasan tanah untuk kegunaan awam termasuk kawasan lapang hendaklah diwartakan di bawah Seksyen 62 KTN di mana tanah itu akan dikawal selia oleh seorang Pegawai Pengawal. Sehubungan dengan itu, pegawai pengawal tanah-tanah lapang adalah di bawah bidang kuasa Setiausaha Kerajaan Negeri.
- Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172), Subseksyen 2(1)
Tanah lapang ditafsirkan sebagai “mana-mana tanah sama ada yang dikepung atau yang tidak disusun atur atau dirizabkan untuk disusun atur keseluruhannya atau sebahagiannya sebagai suatu taman bunga awam, taman awam, padang sukan dan rekreasi awam, tempat makan angin awam, tempat jalan kaki awam atau sebagai suatu tempat awam”.
Berdasarkan tafsiran ini, tanah lapang secara umumnya boleh didefinisikan sebagai suatu kawasan atau tempat awam yang digunakan untuk tujuan rekreasi.
-
Nyatakan keluasan kawasan hijau yang terdapat di Selangor
Jumlah keluasan kawasan lapang yang terdapat di Selangor adalah sebanyak 73,838.71 Perincian keluasan kawasan lapang mengikut PBT adalah seperti berikut :
PBT KELUASAN KAWASAN LAPANG (HEKTAR) MBSA 31,624.23 MBPJ 1,457.00 MPK 384.59 MPAJ 242.90 MPS 25,603.02 MPSJ 1,250.36 MPKj 4,269.11 MPSp 6,956.13 MDKL 142.10 MDHS 57.02 MDKS 1858.76 MDSB 1.49 JUMLAH 73,838.71 Sumber : PBT Negeri Selangor
-
Bagaimanakah Kerajaan Negeri memastikan kawasan hijau terjaga?
Kerajaan Negeri memastikan kawasan lapang terjaga melalui kaedah-kaedah berikut:
- Mewartakan kawasan lapang dengan kelulusan Menteri besar;
- Memasang papan tanda penwartaan di lokasi;
- Penguatkuasaan undang-undang melalui:
– Undang-undang Kecil Taman 2005;
– Undang-undang Kecil Vandalisme 2005; dan
– Lain-lain Akta, Undang-undang Kecil yang berkaitan.
- Menyediakan kemudahan rekreasi di kawasan lapang seperti yang disyaratkan kepada pemaju semasa membuat pembangunan pemajuan; dan
- Penyelenggaraan berterusan oleh PBT seperti skop pembersihan kawasan, pemotongan rumput, penyelenggaraan tanaman, penyelenggaraan kemudahan rekreasi dan lain-lain.