Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2022
25 Julai - 29 Julai 2022 dan 01 Ogos - 05 Ogos 2022 (Isnin - Jumaat dan Isnin - Jumaat)
282) KAWASAN HIJAU
Tahun: 2022
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah keluasan dan senaraikan kawasan hijau (green zone) di setiap daerah di Negeri Selangor.
Berikut adalah jumlah keluasan dan senarai kawasan hijau (green zone) di setiap daerah di Negeri Selangor:
PBT JUMLAH KELUASAN (EKAR) MBSA 684.506 MBPJ 1,347.139 MBSJ 2,980.915 MPK 18,189.673 MPAJ 554.397 MPS 2,453.381 MPKj 3,143.125 MPSp 4,743.13 MPKL 455.4480 MPKS 951.03 MPHS 1,819.699 MDSB 75.1293 JUMLAH 37,397.572 Nota : Sumber daripada PBT
-
Apakah langkah jangka panjang Kerajaan Negeri untuk mengekalkan kawasan ini dan menambah jumlah kawasan hijau terutama di kawasan bandar?
Di peringkat negeri, tanah lapang awam dipantau melalui pelaporan status pewartaan tanah lapang awam. Tanah lapang awam yang dimaksudkan merujuk kepada tanah lapang yang dikhususkan untuk tujuan tanah lapang. Tanah lapang awam ini ditunjukkan dalam pelan susun atur sebagaimana keperluan di bawah sub perenggan 21B(1)(a)(vi) iaitu tanah lapang dalam skim-skim pembangunan yang diserahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri yang tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 2(1), Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 [Akta 172] dan Seksyen 5 dan Seksyen 62, Kanun Tanah Negara [Akta 56]. Komponen yang diambil kira adalah taman bandaran, taman tempatan, taman kejiranan, taman bunga awam, laman rekreasi dan lot permainan.
Data pewartaan tanah lapang awam adalah merangkumi status pewartaan iaitu telah warta, dalam proses warta, belum warta, nyahwarta dan tiada rekod. Pihak yang terlibat secara langsung dalam proses pewartaan tanah lapang awam ialah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Ukur dan Pemetaan Selangor serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor. Pelaporan status pewartaan tanah lapang awam di peringkat negeri dilaporkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri (JPN).
Melalui proses kawalan perancangan pula, Pemaju mesti menyediakan 10 peratus kawasan lapang atau yang mana bersesuaian semasa peringkat permohonan Kebenaran Merancang yang dikemukakan kepada PBT sebagai satu usaha kerajaan untuk memastikan pengekalan kawasan lapang diberi perhatian dalam setiap pembangunan yang dilaksanakan.
Akta 172 telah memperuntukkan penyediaan Rancangan Tempatan iaitu di bawah Seksyen 12 hingga 16. Berdasarkan kepada Subseksyen 12(3) Akta 172, Rancangan Tempatan perlu mengandungi suatu peta dan suatu pernyataan bertulis dan hendaklah membuat rumusan yang mengandungi apa-apa perincian yang difikirkan sesuai oleh Pihak Berkuasa Perancang Tempatan (PBPT) bagi memajukan dan menggunakan tanah, memelihara dan menanam pokok, memperelok landskap serta mengadakan tanah lapang. Melalui Penyediaan Rancangan Tempatan ini juga, dapat dilihat dengan jelas Zon cadangan guna tanah bagi kawasan hijau berdasarkan pelan guna tanah yang disediakan dalam Rancangan Tempatan.