Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

18 Mac 2019 - 25 Mac 2019

132) KAWASAN BEKAS LOMBONG SESUAI DIJADIKAN SEBAGAI PRODUK PELANCONGAN

Tahun: 2019

Sesi: 1

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kawasan bekas lombong di Taman Widuri Bukit Beruntung dan juga di Desa Kiambang, Serendah berpotensi untuk dijadikan sebagai produk pelancongan daerah khususnya kepada aktitviti sukan air kerana ianya dapat menarik pengunjung tempatan sekaligus meningkatkan ekonomi setempat. Adakah pihak Kerajaan Negeri bercadang untuk melihat ini sebagai suatu bentuk usaha ke arah merakyatkan ekonomi rakyat selangor? Mohon diambil pandangan ini sebagai rujukan

    Kerajaan Negeri sentiasa komited di dalam usaha untuk memajukan potensi pelancongan yang terdapat di dalam Negeri Selangor termasuklah pembangunan dan program promosi pelancongan untuk kawasan pelancongan di Batang Kali. Pihak Kerajaan Negeri menyambut baik untuk melihat kawasan yang berptensi tersebut sebagai suatu bentuk usaha ke arah merakyatkan ekonomi rakyat Selangor.

     

    Walau bagaimanapun, beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan kawasan pelancongan khususnya yang melibatkan kawasan bekas lombong, antaranya seperti yang berikut:

     

    • Untuk mengangkat sesebuah tempat menjadi tempat pelancongan perlu merujuk Undang-Undang Malaysia di bawah Akta 482, Akta Industri Pelancongan 1992 dan mengenal pasti status tanah atau kawasan yang ingin dijadikan kawasan pelancongan.
    • Pembangunan Pelancongan dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur yang mesra alam atau berkonsep eko, kemudahan jalan serta akses, dan nilai komersial menggambarkan “x-factor” dan keunikan yang ada pada sesuatu tempat yang menjadi tarikan kepada orang ramai untuk datang ke tempat pelancongan tersebut.
    • Aktiviti promosi yang giat dijalankan oleh Tourism Selangor bersama-sama organisasi pelancongan yang lain bagi memasarkan produk pelancongan yang mempunyai potensi diangkat menjadi tempat tarikan pelancong.
    • Dokumentasi dan Kajian (Research). Bagi mengangkat sesebuah tempat untuk mencapai nilai destinasi pelancongan, Kerajaan Negeri turut menjalankan beberapa kajian dan dokumentasi serta publisiti dan promosi yang berterusan melalui kerjasama bersama agensi-agensi Kerajaan Persekutuan, Pihak Berkuasa Tempatan dan Tourism Selangor sendiri sebagai badan pelancongan negeri.
    • Komuniti, organisasi atau kelab pelancongan tempatan daripada kawasan luar bandar tersebut perlu mewujudkan satu jawatankuasa dalam kalangan penduduk dan perniaga tempatan bagi menggerakkan aktiviti perniagaan pelancongan secara sihat. Contoh boleh dilihat kepada Persatuan Kemajuan Pelancongan Sekinchan yang bergiat aktif dan membawa model seperti ‘Community Based Tourism’ dan ‘Think Tourism’ yang sememangnya memberikan impak yang besar dalam memacu pembangunan pelancongan setempat di luar bandar.

Lampiran

Tiada Lampiran.