Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021

23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021

2) KAWALAN TERHADAP SOP PEKERJA KILANG DI KILANG DAN TEMPAT TINGGAL (KUARTERS) KETIKA PANDEMIK

Tahun: 2021

Sesi: 1

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah - langkah Kerajaan Negeri terhadap penjagaan SOP oleh pekerja kilang, bukan sahaja di kilang tetapi juga tempat tinggal (kuarters) pada tempoh pandemik ini?

    Secara amnya, semua premis termasuk kilang perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) seperti melakukan imbasan kod QR Mysejahtera, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal. Antara langkah yang diambil oleh PBT adalah dengan melaksanakan tindakan penguatkuasaan kompaun dan sitaan kepada pemilik premis perniagaan/ kilang yang gagal mematuhi SOP MKN yang telah ditetapkan dibawah Seksyen 25, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Undang-undang Kecil PBT. Di samping itu, PBT turut bersama-sama melaksanakan operasi bersepadu melalui Ops Patuh yang diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri dan dihadiri oleh agensi lain seperti Kementerian Kesihatan Malaysia serta Jabatan Tenaga Kerja dalam memastikan pematuhan SOP di kawasan industri termasuk tempat penginapan pekerja.

  2. Bagaimana Kerajaan Negeri memastikan pemilik kilang menyediakan ruang secukupnya bagi tempat tinggal pekerja kilang?

    Secara amnya, keperluan menyediakan ruang secukupnya bagi tempat tinggal pekerja kilang adalah tanggungjawab syarikat seperti mana yang telah digariskan oleh Jabatan Tenaga Kerja. Bagi memastikan kawalan penginapan pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Kerajaan Negeri telah memutuskan agar semua PBT menerima pakai Prosedur Permohonan Bagi Penyediaan Penginapan Pekerja Secara Jangka Pendek yang disediakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan diluluskan oleh Majlis Negara Kerajaan Tempatan. Prosedur ini telah menjelaskan kewajipan pengusaha, pengilang dan majikan untuk memastikan penginapan pekerja mematuhi keperluan minima yang ditetapkan di dalam peruntukan Akta Standard Minimum Perumahan Dan Kemudahan Pekerja (Akta 446) dan Peraturan-Peraturan Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Penginapan dan Penginapan Berpusat) 2020. Sebagai contoh kemudahan yang tidak boleh dikongsi di asrama penginapan pekerja adalah seperti katil, tilam, bantal, selimut dan almari.

Lampiran

Tiada Lampiran.