Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Dewan Negeri Selangor Tahun 2023
13 Mac 2023 - 17 Mac 2023 (Isnin - Jumaat)
56) KAWALAN HARGA RUMAH
Tahun: 2023
Sesi: 1
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Rizam Bin Ismail
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan pendirian Kerajaan Negeri Selangor dalam memastikan kenaikan harga rumah tidak terlalu mendadak terutamanya di kawasan bandar.
Untuk makluman Yang Berhormat, tidak dapat dinafikan sejak penularan wabak Covid 19 melanda negara pada Tahun 2020 sehingga sekarang telah memberi kesan kepada industri pembinaan. Ini menyebabkan harga bahan binaan seperti besi, pasir, simen dan rantaian yang berkaitan dengan pembinaan telah meningkat.
Menyedari hakikat ini serta memastikan kenaikan harga rumah tidak terlalu mendadak, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 3.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya bermula pada 03 Januari 2023. Melalui dasar tersebut, Rumah Selangorku dijual bermula dari RM114,750.00 hingga RM250,000.00 seunit dengan keluasan binaan dari 450 kaki persegi hingga 900 kaki persegi yang terdiri daripada jenis perumahan bertingkat dan bertanah. Peratusan pembinaan Rumah Selangorku telah ditetapkan di antara 20% hingga 40% di setiap pembangunan perumahan yang dijalankan di negeri Selangor. Dengan adanya Rumah Selangorku ini, ianya dapat mengimbangi harga jualan dengan Rumah Harga Bebas yang berdasarkan kepada permintaan pasaran semasa.
Berdasarkan kepada Dasar Rumah Selangorku 3.0, pihak pemaju / pemilik tanah dikenakan syarat untuk membina Rumah Selangorku berdasarkan kepada keluasan pembangunan dan ianya mengikut Zon / kawasan pembangunan. Untuk kawasan bandar, Zon yang terlibat adalah Zon 1 dan Zon 2 pembangunan. Bagi Zon 1 pembangunan yang terletak di kawasan Majlis Bandaraya, Transit Oriented Development (TOD), Central Business Distric (CBD), tapak pembangunan di bawah 5 ekar dikenakan syarat 20% Rumah Selangorku, 5 ekar hingga 10 ekar 20% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 40% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.
Bagi Zon 2 pembangunan pula, tapak pembangunan melebihi 5 ekar hingga 10 ekar dikenakan syarat 20% Rumah Selangorku, 10 ekar hingga 20 ekar 30% Rumah Selangorku, 20 ekar hingga 50 ekar 30% Rumah Selangorku dan 50 ekar ke atas 40% Rumah Selangorku.
Oleh itu, sekiranya terdapat cadangan pembangunan perumahan yang dikemukakan oleh pihak pemaju / pemilik tanah adalah menjadi keutamaan / tanggungjawab pihak LPHS untuk memastikan komposisi/ syarat pembangunan Rumah Selangorku tersebut dipatuhi berdasarkan Dasar Rumah Selangorku 3.0 bagi memastikan Rumah Selangorku berada di pasaran sekaligus boleh ditawarkan kepada pembeli yang layak termasuk golongan B40.