Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2025
18 Februari - 21 Februari 2025, 24 Februari - 28 Februari 2025 dan 3 Mac 2025
86) KARTEL PEMINDAHAN PEMILIKAN TANAH SECARA HARAM
Tahun: 2025
Sesi: 1
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Mariam Binti Abdul Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah keselamatan khusus yang sedang dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan dan integriti sistem E-Tanah?
Pentadbiran Tanah Negeri Selangor sentiasa komited memastikan sistem e-Tanah beroperasi dengan tahap keselamatan tertinggi bagi mengelakkan sebarang salah laku dan penyelewengan dalam urusan pemindahan hak milik tanah. Beberapa langkah keselamatan khusus yang dilaksanakan bagi meningkatkan ketelusan dan integriti sistem e-Tanah termasuklah:
- Kawalan keselamatan fizikal melalui penggunaan kamera litar tertutup, peranti biometrik dan dinding kaca bertelus pada pusat data/ pelayan (server) dan kawalan capaian ke pelayan yang terhad kepada “Server Administrator” sahaja;
- Kawalan keselamatan dokumen di mana urusan pendaftaran ditandatangan secara digital menggunakan token dan “encryption” yang disatukan pada dokumen dan kaedah penyimpanan melalui “local storage”, “tape backup” dan replikasi ke “Disaster Recovery Centre” (DRC);
- Kawalan keselamatan aplikasi melalui capaian terhad mengikut peranan pengguna menggunakan ID, kata laluan dan pengesahan biometrik; dan
- Kawalan keselamatan rangkaian dengan menggunakan firewall untuk mengawal trafik keluar dan masuk dalam Sistem e-Tanah serta penggunaan perisian Intrusion Prevention System (IPS) dan Web Application Firewall (WAF) untuk mengesan sebarang ancaman ke atas Sistem e-Tanah.
-
Bagaimana kerajaan membuat pengawasan terhadap kakitangan pejabat tanah bagi mencegah kartel pemindahan pemilikan tanah secara haram?
Kerajaan Negeri mengambil serius isu penyalahgunaan kuasa dan kewujudan kartel dalam urusan pemindahan pemilikan tanah secara haram. Oleh itu, pelbagai langkah pengawasan telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan kakitangan Pejabat Tanah menjalankan tugas dengan penuh integriti serta mengelakkan sebarang salah guna kuasa. Antara langkah pengawasan yang diambil adalah seperti berikut:
- Pemantauan aktiviti dalam Sistem e-Tanah di mana semua urusan pendaftaran tanah direkod secara automatik dalam log sistem e-Tanah untuk memastikan setiap tindakan kakitangan dapat dikesan dan diaudit. Sistem ini akan mengesan sebarang perubahan data yang mencurigakan serta mengenalpasti pegawai yang bertanggungjawab dalam sesuatu urusan pemindahan hak milik;
- Kawalan capaian berperingkat juga dilaksanakan di mana setiap kakitangan Pejabat Tanah diberikan akses berdasarkan tahap jawatan dan bidang kuasa masing-masing;
- Mengadakan pusingan kerja bagi pegawai dan kakitangan yang telah berkhidmat lebih daripada tiga tahun dalam unit/ bahagian yang sama; dan
- Pengukuhan integriti di kalangan pegawai dan kakitangan pejabat tanah melalui program kesedaran anti-rasuah, menandatangani akujanji penjawat awam dan pengisytiharan harta setiap lima tahun.
-
Apakah tindakan yang diambil kepada kakitangan yang terlibat?
Buat masa ini, kakitangan tersebut telah dipindahkan ke jabatan lain sementara menunggu siasatan penuh oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM). Sekiranya seorang penjawat awam didakwa di mahkamah bagi kes jenayah atau kesalahan serius berkaitan tugasnya, pihak pengurusan boleh menggantung tugas pegawai tersebut sementara menunggu keputusan perbicaraan. Dan sekiranya pihak Mahkamah mendapati bahawa kakitangan yang dituduh adalah bersalah dan dijatuhkan hukuman, pihak pengurusan akan mengambil tindakan mengikut peraturan yang ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (P.U. (A) 395/1993).