Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2021
23 Ogos 2021 hingga 27 Ogos 2021, 30 Ogos 2021, 1 September 2021 hingga 3 September 2021 dan 6 September 2021
223) KAPASITI ICU SELANGOR YANG TIDAK MENCUKUPI
Tahun: 2021
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah Kerajaan Negeri boleh membantu dalam isu kapasiti ICU yang tidak mencukupi di bawah Selangor?
Negeri Selangor terus mencatatkan peningkatan pesakit COVID-19 kategori 3 dan ke atas secara berterusan sejak Jun 2021 yang telah menyebabkan keperluan katil ICU untuk pesakit kategori 4 dan ke atas meningkat secara mendadak. Sehingga 10 Ogos 2021, terdapat 7200 pesakit COVID-19 yang sedang mendapatkan rawatan di hospital-hospital KKM di Negeri Selangor dan PKRC Bersepadu MAEPS. Secara keseluruhannya, peningkatan katil ICU untuk pesakit COVID-19 adalah sebanyak 183% (daripada 110 katil kepada 311 katil untuk tempoh Januari sehingga Ogos 2021) dengan Bed Occupancy Rate (BOR) 101%.
Selain itu juga, trend peningkatan bilangan katil ICU ini dilihat meningkat daripada 14% sehingga ke 15% setiap bulan disebabkan oleh keperluan kritikal bagi memberikan rawatan yang optimum kepada pesakit COVID-19 yang akut. Walau bagaimanapun, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor sentiasa komited dan terus berusaha untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi menerima lebih ramai pesakit COVID-19 yang akut dan memerlukan rawatan. Ini dibuktikan dengan peningkatan bilangan katil ICU untuk pesakit COVID-19 dari masa ke semasa sesuai dengan keperluan selain memastikan kelancaran pengoperasian keempat-empat Hospital Full COVID-19 di Negeri Selangor.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri menyelesaikan kekurangan tong oksigen yang serius di kawasan hospital / tempat perubatan?
Isu berkaitan kekurangan tong oksigen juga merupakan satu perkara yang membimbangkan Kerajaan Negeri. Ketersediaan tong oksigen adalah amat penting bagi memastikan pesakit yang berada di Kategori 4 dan 5 dapat menerima bekalan oksigen secukupnya. Namun, sebagaimana isu kapasiti ICU, perkara ini juga adalah dibawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
-
Sebarang perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan mengenai isu-isu diatas?
Kerajaan Negeri sentiasa akan melaksanakan sesi libat urus bersama agensi dan jabatan berkaitan di peringkat Persekutuan dalam memastikan isu-isu ini dapat diselesaikan dan membantu kesejahteraan rakyat. Perbincangan bersama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) kerap diadakan bagi membincangkan isu-isu semasa yang berbangkit termasuk berkaitan pengurusan fasiliti di hospital awam.