Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

04 Julai - 05 Julai 2024, 09 Julai - 12 Julai 2024 & 15 Julai - 18 Julai 2024 (Khamis - Jumaat, Selasa - Jumaat & Isnin - Khamis)

250) KAPAL KOREK SRI BANTING

Tahun: 2024

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa kos yang terlibat untuk membeli kapal korek Sri Banting dan hak milik tanah disekitarnya dan apakah tujuan kerajaan untuk membeli dengan nilai yang besar manfaat untuk masyarakat sekelilingnya?

    Kapal Korek Sri Banting telah dibeli oleh Majlis Perbandaran Sepang berdasarkan keputusan Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) bil.39/2021 bertarikh 17 November 2021 yang telah disahkan dalam MMKN bil. 40/2021 bertarikh 24 November 2021 dengan nilai sebanyak RM10,584,250.00.

    Kapal korek Sri Banting ini berada di atas tanah milik Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan tanah seluas 175.80 ekar akan diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) sebagai Taman Warisan Lombong Bijih Timah Negara seterusnya dicadangkan untuk disenaraikan sebagai warisan dunia di dalam UNESCO.

    Cadangan Taman Warisan Lombong Biji Timah Negara (Warisan Tin Mining Heritage Park), Dengkil ini mengandungi komponen pembangunan ‘Living Muzium’, muzium tapak, laman susur timah, taman rekreasi serta pusat kemudahan pelancongan yang dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan kemudahan pengunjung mengenai pembuktian dan sejarah tinggalan revolusi perindustrian bijih timah negara yang perlu pulihara dan dipelihara

    Dengan kedudukannya yang strategik berhampiran KLIA dan Putrajaya, Cadangan Pembangunan Taman Warisan Lombong Bijih Timah Negara ini akan menjadi destinasi riadah dan pelancongan budaya dan warisan Daerah Sepang dan di Negeri Selangor yang akan memberi manfaat kepada komuniti setempat melalui peluang pekerjaan, penjanaan ekonomi seterusnya menjadi platform maklumat kepada para pengkaji sejarawan negara dan dunia juga untuk pelbagai bidang.

Lampiran

Tiada Lampiran.