Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017

3 November 2017, 06 November hingga 10 November 2017 dan 13 November hingga 16 November 2017

102) KAMPUNG TRADISIONAL

Tahun: 2017

Sesi: 3

Isu: Pembangunan Kampung

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan Kerajaan dalam pembangunan kampung-kampung tradisional?

    Pembangunan Desa merupakan perkara yang menjadi antara fokus utama Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor. Usaha ini meliputi pelbagai aspek pembangunan antaranya infrastruktur, sosial dan ekonomi. Hal ini juga adalah kerana penduduk desa masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan per kapita berbanding penduduk bandar. Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri Selangor ingin meningkatkan pendapatan dan juga mewujudkan konsep Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur . Kerajaan Negeri ingin mengubah strategi pembangunan desa ke arah satu konsep yang menyeluruh dan holistik bagi memastikan pembangunan kampung secara bersepadu dan mampan bagi tujuan meningkatkan pendapatan penduduk kampung dan mewujudkan nilai keempunyaan penduduk setempat dapat dilaksanakan. Melalui program-program seperti Karnival Kampungku Kesayanganku ini juga diharapkan objektif ini dapat mencapai matlamatnya.

    Bagi aspek infrastruktur, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta untuk pembangunan projek-projek infrastruktur di kampung yang mana RM15 juta diberikan untuk menaiktaraf dan baik pulih jalan-jalan kampung dan RM15 juta lagi untuk maniktaraf balairaya. Melihat kepada keadaan semasa dan keperluan yang mendesak, fokus utama Kerajaan Negeri pada masa ini adalah untuk menaiktaraf infastruktur seperti jalan kampung. Ini kerana masih terdapat banyak jalan-jalan di kampung yang tidak mempunyai jalan yang sempurna dan tidak mengikut spesifikasi MARRIS. Melihatkan kepada peningkatan jumlah kenderaan di negeri maju ini, ternyata struktur jalan yang baik walaupun di kampung menjadi satu keperluan pada masa kini. Selain itu, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM30 juta di bawah MARRIS untuk tujuan penyelenggaraan jalan-jalan kampung.

    Selain itu juga, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan berjumlah RM6.43 juta yang bertujuan untuk membangunkan ekonomi kampung-kampung tradisi di samping menjalankan aktiviti berbentuk sosial untuk dimanfaatkan kepada semua masyarakat di kampung. Jumlah ini adalah termasuk peruntukan sebanyak RM3.68 juta bagi program Ikatan Desa yang bertujuan untuk memperkasakan dan memastikan keharmonian di kampung sentiasa terpelihara.

  2. Apakah usaha-usaha yang telah dijalankan untuk mengekalkan serta memperkayakan tradisi dan adat budaya di kampung-kampung tersebut?

    Seperti mana yang kita maklum, di sebalik arus permodenan dan kemajuan yang dikecapi oleh Selangor, ia juga dalam masa yang sama kaya dengan tradisi, adat dan warisan yang masih wujud dan diamalkan khususnya di kampung-kampung tradisi. Justeru itu, Kerajaan Negeri senantiasa berusaha untuk mengekalkan dan memelihara aspek tradisi dan adat yang terdapat di kampung tradisi menerusi program-program yang dianjurkan khusus bagi masyarakat tempatan di kawasan tersebut. Kerajaan Negeri menerusi Stanco Pembangunan Desa serta Stanco Adat Melayu dan Warisan telah sama-sama mengembleng tenaga dalam penganjuran Pertandingan Kampung Tradisi Terbaik Negeri Selangor yang telah bermula sejak tahun 2015. Dalam pertandingan tersebut, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah berperanan memberi khidmat nasihat dan penilaian hal-hal yang berkaitan dengan sejarah, kesenian, dan kebudayaan kampung khususnya dalam aspek seni tari, pakaian tradisional, rumah tradisional dan makanan warisan. Melalui saranan yang diberikan oleh pihak PADAT kepada kampung-kampung yang bertanding, dapat diperhatikan penambaikan dalam aspek tradisi budaya antaranya pemerkasaan tulisan jawi, sambutan kebudayaan pelbagai etnik, pintu gerbang, mercu tanda dan ikon kampung mula ditonjolkan bagi melambangkan identiti kampung tradisi tersebut.

    Selain daripada itu, usaha Kerajaan Negeri untuk memperkayakan dan mengembangkan tradisi dan adat budaya tempatan juga turut dipergiatkan menerusi pengisian Karnival Kampungku Kesayanganku, (antaranya seperti pertandingan masakan atau kuih tradisional serta pertandingan gubahan sirih junjung). Dalam pada itu, Stanco Adat Melayu dan Warisan juga turut menganjurkan program Adat Perkahwinan dan Warisan Kesenian Melayu Selangor yang bertujuan untuk memelihara dan mengembangkan tradisi dan adat pekahwinan yang diamalkan oleh etnik-etnik yang terdapat di Selangor.

  3. Berapakah peruntukan yang disalurkan untuk menjalankan rekod sejarah lisan oleh PADAT dalam 2013 hingga 2017?

    Sejarah lisan adalah merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam penyelidikan sejarah. Ia dilakukan secara temubual dan wawancara bersama sumber primer yang mempunyai perkaitan secara langsung dengan sesuatu peristiwa sejarah. Maklumat yang diperolehi dari wawancara itu kemudiannya akan disalin dan disemak sebelum digunakan sebagai bahan penyelidikan. Kaedah ini sememangnya merupakan antara kaedah yang digunakan oleh PADAT ketika melaksanakan kerja-kerja penyelidikan.

    Dari segi kewangan, peruntukan yang digunakan bagi rekod sejarah lisan telah termasuk dalam jumlah keseluruhan peruntukan bagi kerja penyelidikan yang mana ianya menggunakan peruntukan pembangunan P01 di bawah kod Projek P.K13  13004 (Penyelidikan Adat Melayu, Bahasa, Kesenian, Budaya dan Warisan). Berikut adalah jumlah peruntukan yang diterima bagi keseluruhan kerja-kerja penyelidikan (termasuk rekod sejarah lisan) dari tahun 2013-2017:

     

    Tahun Jumlah

    (RM)

    2013 135,000.00
    2014 300,000.00
    2015 50,000.00
    2016 & 2017 25,000.00
    Jumlah Keseluruhan 510,000.00

Lampiran

Tiada Lampiran.