Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014
127) KAMPUNG TRADISI MELAYU PINGGIRAN BANDAR PERLU JALAN YANG BAGUS
Tahun: 2014
Sesi: 3
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bilakah dan dimanakah kerajaan negeri memulakan penyelenggaraan jalan-jalan kampung yang berstatus lot persendirian dan tidak dapat peruntukan dibawah PLB
Dasar Kerajaan Negeri sedia ada tidak membenarkan sebarang pelaksanaan projek termasuk projek menaiktaraf dan membaiki jalan di atas tanah hak milik persendirian.
Kerajaan Negeri Selangor melalui Pejabat Daerah dan Tanah telah memulakan proses penyenaraian dan semakan status jalan serta mengenal pasti jalan-jalan kampung yang terletak di atas tanah hak milik persendirian. Pada asalnya, jalan- jalan tersebut dibina atas dasar kepentingan bersama penduduk kampung atau dikenali sebagai izin lalu oleh pemilik tanah terbabit.
Melalui kaedah yang sedang dilaksanakan sekarang, pihak Pejabat Daerah dan Tanah akan melaksanakan kerja-kerja ukur tanah / ‘land survey’ bagi mendapatkan jajaran jalan dan sempadan yang sebenar. Langkah seterusnya akan diputuskan oleh Pihak Berkuasa Negeri selepas selesai kerja-kerja ukur tersebut sama ada melalui proses Esmen( Seksyen 282 KTN), atau mengguna pakai Hak Lalulalang Pentadbir Tanah (Seksyen 388 & 389 KTN) atau kaedah terakhir iaitu pengambilan balik semula tanah (Seksyen 3).
-
Berapakah peruntukan kerajaan negeri bagi tindakan holistik Pejabat Tanah-JKKK untuk menyelesaikan masalah kualiti jalan kampung?
Bagi peruntukan tahun 2014, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan sebanyak RM6,110,473.48 (Ringgit Malaysia: Enam Juta Satu Ratus Sepuluh Ribu Empat Ratus Tujuh Puluh Tiga dan Sen Empat Puluh Lapan Sahaja) bagi 160 buah projek penyelenggaraan jalan kampung di seluruh Negeri Selangor di bawah peruntukan pembangunan luar bandar (PLB).
Bagi peruntukan di bawah MARRIS 2014, Kerajaan Negeri Selangor telah membelanjakan sejumlah RM13,217,588.00 (Ringgit Malaysia: Tiga Belas Juta Dua Ratus Tujuh Belas Ribu Lima Ratus Lapan Puluh Lapan Sahaja) bagi penyelenggaraan jalan-jalan kampung seluruh Negeri Selangor.