Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
38) KAMPUNG PENEROKA BANDAR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Kg.Papan di Pandamaran, Kg. Kenanga di Klang dan Kg.Temenggung di Gombak merupakan kampung-kampung peneroka yang telah membawa isu mereka ke perhatian kerajaan negeri melalui Exco Perumahan YB Iskandar Samad. Apakah status kampung-kampung tersebut?
Kerajaan Negeri buat masa ini tidak mengambil sebarang tindakan perobohan atau pemindahan ke atas penempatan peneroka bandar tersebut sehingga adanya penyelesaian yang dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat iaitu setinggan, pemaju dan Kerajaan Negeri. Kampung Jalan Papan, Pandamaran masih merupakan tanah milik persendirian iaitu pemaju TPPT Sdn. Bhd. dan akan dibangunkan secara bersama Tetuan Melati Ehsan Sdn. Bhd. Manakala kampung Seri Kenangan dan Kampung Seri Gombak merupakan tapak yang diberi milik kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk dibangunkan secara bersepadu bersesuaian dengan saiz tapak kedua-dua penempatan tersebut yang kecil dan terhad untuk diberi milik kepada peneroka bandar berkenaan.
Bilangan peneroka bandar mengikut kampung-kampung di atas adalah seperti berikut :-
Bil. Nama Kampung Nama PBT Bil. Setinggan 1. Kg.Jalan Papan, Pandamaran, Klang MPK 135 keluarga 2. Kg. Sri Kenangan, Klang MPK 24 keluarga 3. Kg. Sri Temenggung, Gombak MPS 29 keluarga Kebanyakan peneroka bandar ketiga-tiga kampung tersebut masih berada di tapak kerana masih menuntut kepada Kerajaan Negeri agar diberi milik tanah tersebut kepada mereka. Perkara ini agar sukar dipenuhi oleh Kerajaan Negeri kerana faktor pemilikan tanah Kg. Jalan Papan, Pandamaran adalah tanah milik persendirian. Manakala Kg. Sri Kenangan dan Seri Temenggung adalah terlalu kecil untuk diagih-agih kepada peneroka bandar yang masih berada di tapak .
-
Apakah penyelesaian daripada kerajaan negeri?
Kerajaan Negeri masih mengadakan perbincangan dengan pihak peneroka bandar bagi mendapatkan penyelesaian terbaik bagi ketiga-tiga kampung tersebut. Beberapa siri mesyuarat telah diadakan bagi mendapat penyelesaian terutamanya penempatan Kampung Jalan Papan, Pandamaran kerana ianya melibatkan bilangan penduduk yang ramai dan memerlukan kerjasama pihak pemilik tanah persendirian untuk memberi tawaran yang lebih baik kepada penduduk. Bagi penyelesaian masalah peneroka bandar di Kampung Kenanga dan Kampung Temenggung, perbincangan bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sedang dijalankan untuk menyediakan cadangan penyelesaian kepada Kerajaan Negeri untuk ditawarkan kepada penduduk. Peneroka Kedua-dua kampung ini telah pun kalah dalam kes mahkamah namun Kerajaan Negeri masih memberi ruang kepada mereka untuk mengadakan perbincangan selain menyampaikan sebarang tuntutan kepada Kerajaan Negeri.