Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

319) KAMPUNG ORANG ASLI

Tahun: 2024

Sesi: 1

Isu: Orang Asli

Adun: Y.B. Datuk Seri Jamil Bin Salleh

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Selangor untuk menjadikan Kampung orang asli di Dengkil seperti Kampung Orang Asli Bukit Tadom sebagai kawasan pelancongan baru dengan tarikan yang tersendiri?

    Produk pelancongan perkampungan orang asli khususnya di Dengkil dalam proses kajian untuk dijadikan produk pelancongan baharu di Negeri Selangor. Usaha ini dilaksanakan melalui lawatan teknikal pelancongan yang melibatkan beberapa agensi yang berkaitan bagi memastikan produk pelancongan baharu yang diperkenalkan mampu menarik minat para pelancong. Beberapa perkara yang perlu dititikberatkan dalam membangunkan kawasan pelancongan khususnya produk pelancongan baharu seperti berikut:

    1. Bagi tujuan mengangkat sesebuah tempat menjadi tempat pelancongan, ianya perlu merujuk kepada Akta 482: Akta Industri Pelancongan 1992 dan mengenal pasti status tanah atau kawasan yang ingin dijadikan kawasan pelancongan;
    2. Pembangunan Pelancongan dari segi penyediaan kemudahan infrastruktur, kemudahan akses jalan dan nilai komersial menggambarkan “x-factor” dan keunikan yang ada pada sesuatu tempat yang menjadi tarikan untuk pelancong datang ke tempat pelancongan tersebut; dan
    3. Aktiviti promosi perlu giat dijalankan bersama-sama organisasi pelancongan yang lain bagi memasarkan produk pelancongan yang berpotensi diangkat menjadi tempat tarikan pelancong melalui pakej pelancongan yang bersepadu. Sebagai contoh, Kampung Orang Asli Kelinsing di Kota Warisan, Sepang pernah menjadi lokasi program pelancongan dengan kerjasama MPKK Kampung Sri Dengkil, JPP Zon Sri Dengkil, JPP Zon Kota Warisan di mana ianya dijadikan lokasi bagi mengetengahkan produk kraftangan Kaum Temuan dan program kebudayaan kepada para pengunjung.

     

    Untuk makluman Yang Berhormat Dengkil, Negeri Selangor mempunyai penduduk yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan adat resam. Masyarakat Orang Asli juga tidak ketinggalan antara suku kaum yang mempunyai latar belakang dan adat resam yang unik, antaranya adalah suku Kaum Mahmeri, Temuan, Semai dan sebagainya. Kehidupan masyarakat Orang Asli adalah sangat unik dan menarik untuk diterokai dan diketengahkan untuk menjadi tarikan pelancong. Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk menjadikan beberapa buah kampung Orang Asli sebagai kawasan pelancongan baharu selain mengekalkan kawasan pelancongan di Kampung Orang Asli sedia ada seperti di Bukit Tadom dan Sungai Bumbun.

    Bagi kawasan Dengkil, beberapa Kampung Orang Asli telah di kenalpasti sesuai untuk dijadikan kawasan pelancongan baharu kerana ianya terletak di kawasan strategik iaitu dilaluan keluar masuk pelancong melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Antara usaha yang dijalankan adalah berkolaboratif dengan agensi dan jabatan yang terlibat bersama penduduk kampung, mengenalpasti tarikan pelancong, antaranya mengetengahkan tarian sewang, menyumpit, pengenalan kepada tumbuhan, kesenian anyaman berasaskan rotan serta alat muzik tradisional Orang Asli. Usaha ini juga melibatkan pembangunan infrastruktur pelancongan seperti homestay, trekking, pameran kebudayaan, dan aktiviti-aktiviti lain yang memberi pengunjung peluang untuk menghargai budaya, alam semula jadi, dan gaya hidup tradisional Orang Asli.

Lampiran

Tiada Lampiran.