Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
144) KAMPUNG MELAYU TRADISI
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pembangunan Kampung
Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk membuka/membesarkan kawasan perkampungan tradisi Melayu?
Buat masa ini, Kerajaan Negeri tiada mempunyai cadangan untuk membuka/membesarkan kawasan perkampungan tradisi Melayu. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri melalui keputusan MMKN bertarikh 16 November 2016 yang telah disahkan oleh MMKN ke 38/2016 pada 23 November
2016 telah mengiktiraf tiga (3) buah kampung yang baru sebagai Kampung Tradisi iaitu Kampung Lombong Daerah Klang, Kampung Wira Damai Mukim Batu Daerah Gombak dan Kampung Paya Tanjung Mukim Beranang Daerah Hulu Langat yang menjadikan jumlah kampung tradisi secara keseluruhan 371 buah.
Kampung-kampung ini diiktiraf berdasarkan kriteria-kriteria kampung yang merujuk kepada Buku Manual Panduan Kerja JKKK Negeri Selangor Darul Ehsan (September, 2001), di mana definisi kampung adalah kampung-kampung yang mempunyai salah satu atau kombinasi dari kriteria seperti berikut:
- Kawasan yang aktivitinya 60% pertanian;
- Jumlah penduduk yang kurang daripada 10, 000 orang;
- Kurang kemudahan infrastruktur;
- Terletak di luar kawasan Majlis Daerah/Kerajaan Tempatan;
- Termasuk lingkungan kawasan kampung tradisi; dan
- Mengamalkan budaya desa dalam urusan harian di sesuatu kampung.
Pengiktirafan ini juga mengambil kira kemudahan sosial dan awam sedia ada di kampung-kampung tersebut seperti surau, balai raya, tanah perkuburan, kedai runcit dan kedai makan.
Pengiktirafan ini dijangka dapat memberi impak positif dan besar terhadap kesejahteraan dan pembangunan sosio ekonomi kampung- kampung tersebut. Ini secara tidak langsung membantu melaksanakan agenda Kerajaan Negeri dalam melahirkan komuniti yang lebih berdaya saing dan cemerlang.