Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2023
10 November 2023, 14 November - 17 November 2023 & 20 November – 24 November 2023 (Jumaat, Selasa – Jumaat & Isnin - Jumaat)
225) KAKITANGAN PBT
Tahun: 2023
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Danial Al-rashid Bin Haron Aminar Rashid
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah kakitangan kontrak di PBT yang telah diserap tetap sejak 2020?
Seramai 345 orang kakitangan kontrak yang berkhidmat di Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor telah ditukar lantik ke jawatan tetap mulai tahun 2020 sehingga 31 Oktober 2023. Perkara ini memberi masa depan yang cerah dan kelegaan kepada pegawai dan kakitangan PBT yang terlibat kerana telah memberi jaminan kerja dan akan menikmati banyak faedah setelah diserap sebagai jawatan lantikan tetap. Perincian jumlah kakitangan kontrak PBT yang telah dilantik jawatan tetap adalah seperti berikut:
-
Apakah usaha yang dilaksanakan agar baki kakitangan kontrak boleh diserap menjadi kakitangan tetap?
Urusan pengisian jawatan tetap adalah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM) berdasarkan jumlah waran perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Pada dasarnya, Perkhidmatan Awam tidak mempunyai sebarang dasar berkaitan penyerapan atau pemberian status jawatan tetap secara automatik kepada anggota lantikan kontrak kerana pengisian kekosongan jawatan ini dilaksanakan secara terbuka yang mana turut melibatkan permohonan orang awam di luar organisasi melalui proses semakan kelayakan dan sesi temuduga. Oleh yang demikian, kakitangan kontrak perlu bersaing secara adil bersama calon lain dari luar organisasi yang turut sama memohon perjawatan berkenaan. Namun yang demikian, sebagai kakitangan kontrak, pengalaman bekerja di PBT menjadi nilai tambah berbanding calon-calon lain dan memberi peluang lebih besar kepada kakitangan kontrak berkenaan untuk mengisi jawatan tetap.
-
Bolehkah PBT yang berkemampuan menyerap kesemua kakitangan kontrak menjadi tetap sekiranya mampu?
Setiap Pihak Berkuasa Tempatan adalah tertakluk kepada Akta Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) yang menggariskan keperluan dan urusan pembayaran caruman pencen bagi setiap anggota yang telah mendapat Pemberian Taraf Berpencen (PTB). Kemampuan Pihak Berkuasa Tempatan bagi tujuan menyerap semua kakitangan kontrak bukan sahaja mengambil kira bayaran emolumen kepada kakitangan berkenaan, malahan setiap Pihak Berkuasa Tempatan bertanggungjawab untuk membuat caruman pencen bulanan kepada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) pada kadar 17.5 peratus berdasarkan gaji hakiki bulanan bagi setiap pekerja berpencen (Seksyen 8(1) Akta 239). Oleh yang demikian, setiap Pihak Berkuasa Tempatan perlu mengambil kira implikasi kewangan bagi tujuan bayaran emolumen dan bayaran pencen terhadap semua kakitangan kontrak sekiranya berhasrat untuk menyerap semua kakitangan kontrak berkenaan kepada lantikan tetap.