Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015
30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015
52) KAKITANGAN AWAM KONTRAK
Tahun: 2015
Sesi: 3
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Sila kemukakan jumlah pegawai kontrak yang sedang berkhidmat di Negeri Selangor.
Berdasarkan maklumat perjawatan yang dikemas kini sehingga 21 Oktober 2015, Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor mempunyai sejumlah 4,043 orang* (16.9% berbanding 23,917 orang penjawat awam secara keseluruhannya) pegawai dan kakitangan lantikan kontrak yang menyandang pelbagai jawatan di Jabatan / Agensi termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Badan Berkanun Negeri (BBN).
* sumber: Maklumat yang dijana daripada Sistem Maklumat
Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS)
-
Apakah perancangan Kerajaan untuk menyerapkan mereka yang berkhidmat lebih 10 tahun ke jawatan tetap?
Urusan pengisian jawatan Tetap dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM) berdasarkan jumlah waran perjawatan yang diluluskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF). Pada dasarnya, Perkhidmatan Awam tidak mempunyai sebarang dasar berkaitan ‘penyerapan’ secara automatik anggota lantikan Kontrak ke jawatan Tetap kerana pengisian kekosongan jawatan ini dilaksanakan secara terbuka yang mana turut melibatkan permohonan orang awam di luar organisasi melalui proses semakan kelayakan dan sesi temuduga.
Namun yang demikian, anggota lantikan Kontrak yang berprestasi tinggi (markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) melebihi 85% dan ke atas), diperakukan oleh Ketua Jabatan dan telah berkhidmat sekurang- kurangnya 5 tahun akan diberikan keutamaan untuk disenaraikan sebagai calon yang dipanggil ke sesi temu duga sesuatu jawatan Tetap yang relevan dengan kelayakan akademik dan pengalaman. Namun yang demikian, urusan pelantikan ini masih tertakluk kepada markah keseluruhan dan prestasi semasa temu duga dijalankan.
Berhubung perkara ini, Pentadbiran Kerajaan Negeri juga sedang melaksanakan penstrukturan semula beberapa Jabatan / Agensi dengan kerjasama Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) bagi mengoptimumkan guna tenaga berdasarkan keperluan. Sekiranya permohonan ini diluluskan, maka pegawai-pegawai lantikan Kontrak ini berpeluang untuk mengisi jawatan- jawatan yang baru diwujudkan ini.
-
Apakah bantuan yang diberikan kepada mereka kerana tidak layak mendapat pinjaman perumahan daripada Kerajaan Negeri?
Buat masa ini, anggota yang dilantik secara Kontrak sememangnya tidak disediakan kemudahan pinjaman perumahan sepertimana yang dinikmati oleh anggota yang dilantik secara Tetap. Pelantikan anggota Kontrak dilaksanakan selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 yang menjelaskan tentang segala bentuk kemudahan dan saraan pegawai dalam tempoh perkidmatan.
Walaupun anggota lantikan Kontrak tidak diberikan kemudahan pinjaman perumahan, mereka diberikan peluang untuk memohon perumahan kos rendah dan mampu milik yang dikelolakan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) seperti yang dinikmati oleh Penjawat Awam lantikan tetap.
Selain itu, mereka juga layak memohon pembelian rumah di bawah skim Dana
– Sel yang disediakan oleh LPHS di mana mereka hanya perlu membayar secara bulanan kepada LPHS tanpa perlu membuat pinjaman daripada institusi kewangan.