Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
97) KAJIAN PENGANGKUTAN AWAM SELANGOR
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Pengangkutan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah projek-projek utama pengangkutan awam yang akan dilaksanakan bagi mencapai sasaran nisbah 60:40 penggunaan pengangkutan awam berbanding kenderaan persendirian? Tahun bila target Kerajaan Negeri bagi mencapai matlamat tersebut?
Kerajaan Negeri telah menyediakan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Selangor (PIPANS) sebagai dokumen rujukan bagi memberikan lakaran alternatif baru jajaran dan jalinan pengangkutan awam supaya pelaksanaan projek-projek pengangkutan di Negeri Selangor dapat dirangka menepati keadaan semasa dan kehendak rakyat Negeri Selangor.
Pelan tersebut telah mengenalpasti sistem pengangkutan awam menggunakan landasan yang terdiri daripada 12 cadangan koridor laluan pengangkutan awam yang mempunyai laluan paling optimum untuk Negeri Selangor. Namun begitu, perancangan untuk melaksanakan projek-projek utama pengangkutan awam ini berdasarkan koridor laluan yang telah dikenalpasti, memerlukan penyelarasan dan penglibatan daripada pelbagai pihak khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan bagi merancang pembangunan yang dapat diintegrasikan ke dalam pelan-pelan agensi sedia ada dan seterusnya dapat merealisasikan matlamat Kerajaan Negeri untuk mencapai modal split pengangkutan awam menjelang tahun 2035 dengan nisbah pengangkutan awam sebanyak 60 peratus berbanding 40 peratus penggunaan kenderaan persendirian di Negeri Selangor.
-
Sila nyatakan jumlah kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memperbaiki keadaan kesesakan lalu lintas di Selangor terutamanya Petaling Jaya.
Buat masa ini, Kerajaan Negeri berpandukan Kajian Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 yang dijalankan oleh Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor, di mana kajian bagi sektor perhubungan dan pengangkutan turut merangkumi aspek yang menyeluruh dalam sistem pengangkutan awam sedia ada, sistem jaringan jalan raya dan lalu lintas yang akan membantu memperbaiki sistem pengurusan trafik di Negeri Selangor. Selain itu, kajian trafik turut dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor sebagai sebahagian daripada keperluan di dalam projek-projek menaiktaraf jalan raya.
Kerajaan Negeri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa memastikan kemudahan infrastruktur pengangkutan awam dapat direncanakan sebaik mungkin demi menjaga keharmonian rakyat. Selaras dengan itu, Kerajaan Negeri yakin bahawa inisiatif yang telah dilaksanakan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menyediakan Pelan Induk Pengangkutan pada tahun 2014 akan membantu pihak Majlis dalam merangka pembangunan sektor pengangkutan awam yang lebih terancang, menyeluruh dan berkesan.