Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
36) KAJIAN DAN PENYELIDIKAN BERKAITAN PBT
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Senaraikan kajian-kajian dan penyelidikan yang telah dilakukan dalam tempoh 2008-2010 oleh Jawatankuasa Tetap Kajian dan Penyelidikan. Nyatakan peruntukkan yang dibelanjakan.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Kajian dan Penyelidikan telah membuat 12 kajian.
Antara kajian yang dilakukan oleh Jawatankuasa Tetap Kajian dan
Penyelidikan adalah seperti berikut:-
- Kajian Projek Pilihan Raya Kerajaan Tempatan oleh SUARAM Komunikasi yang menggunakan peruntukan sebanyak RM10,000.00.
- Kajian Mengenai Hak Menteri Besar Selangor untuk Mendeklasifikasikan Dokumen oleh Firma Chooi & Co. yang menggunakan peruntukan sebanyak RM5,000.00.
- Kajian Impak Sekitaran Perlombongan Emas di Raub oleh Fakulti Sains dan Teknologi, UKM yang menggunakan peruntukan sebanyak RM30,000.00.
- Kajian Program Pravasi Bhratiya Bhawan, New Delhi yang menggunakan peruntukan sebanyak RM16,487.00.
- Kajian Impak Sosial Ke Atas Projek Pembinaan LRT Jajaran Kelana Jaya, Putra Height, Seksyen 27, 28 Shah Alam oleh MDS Traffic Planners & Consultants yang menggunakan peruntukan sebanyak RM10,000.00.
- Kajian Organisasi dan Projek Rintis Pembangunan Strategik Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor oleh Top Foresight Sdn. Bhd. yang menggunakan peruntukan sebanyak RM426,500.00.
- Kajian Tinjauan Berkala Sosiopolitik Di Kalangan Rakyat Selangor oleh Merdeka Center For Opinion Research yang menggunakan peruntukan sebanyak RM71,000.00.
- Kajian Cadangan Program Pungutan Suara dan Pendapat oleh Merdeka Center For Opinion Research Terhadap Pelaksanaan Projek Sambungan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya (KLJ) yang menggunakan peruntukan sebanyak RM91,379.35.
- Kajian Pesawah Padi di Negeri Selangor oleh Merdeka Center For Opinion Research yang menggunakan peruntukan sebanyak RM91,077.50.
- Kajian Keperluan Pembinaan Council Homes di Negeri Selangor oleh IIUM Entrepreneurship and Consultancies Sdn. Bhd. yang menggunakan peruntukan sebanyak RM50,000.00.
- Pelantikan Merdeka Center For Opinion Research bagi menyediakan Selangor Blueprint 2011-2013 dengan peruntukan sebanyak RM129,800.00.
- Penyelidikan bagi Penggubalan Rang Undang-undang Enakmen Kebebasan Maklumat Negeri Selangor 2010 dengan peruntukan sebanyak RM15,000.00.
-
Bagaimana kajian-kajian yang telah dilakukan bermanfaat?
Setiap kajian yang telah dilakukan bermanfaat bukan sahaja kepada kerajaan negeri mahupun pihak berkuasa tempatan malah memberi manfaat kepada rakyat negeri Selangor bergantung kepada kajian yang dilakukan.
Bagi kajian seperti Selangor Blueprint 2011-2013, ia adalah satu pelan hala tuju dan pembangunan tiga tahun negeri Selangor di mana blueprint ini adalah untuk menggariskan kaedah terbaik dalam mengagihkan pendapatan kerajaan negeri Selangor kepada rakyat berdasarkan kepada Tujuh Teras Utama.
Selangor Blueprint adalah lebih telus dan adil dengan mengambil kira pandangan holistik dari segenap lapisan masyarakat di negeri Selangor tanpa kepentingan pihak-pihak tertentu dan semata-mata untuk keharmonian dan kesenangan rakyat negeri ini pada masa akan datang.
Ia juga menjadi bukti bahawa kerajaan negeri Selangor sentiasa menambah baik pentadbirannya dengan mendengar nasihat dan teguran dari peringkat bawahan dan akar umbi.Manfaat bagi Kajian Sosioekonomi Pesawah Padi ialah dapat mengenal pasti status sosioekonomi pesawah padi di mana hasil kajian mendapati bahawa 60% petani berada di bawah garis kemiskinan dengan pendapatan di bawah RM1000.00 sebulan. Penemuan ini akan digunakan oleh kerajaan negeri bagi merangka program pembasmian kemiskinan yang khusus kepada para petani seperti program meningkatkan pendapatan dan meningkatkan hasil pengeluaran padi.
Selain itu, kajian ini dapat memahami kegiatan sekunder pesawah padi di mana pesawah padi sangat bersetuju sekiranya kerajaan negeri dapat mewujudkan pekerjaan sampingan kepada pesawah padi untuk mendapatkan pendapatan tambahan di mana pada masa ini para pesawah turut menjalankan aktiviti sampingan lain seperti berkebun, mengambil upah sebagai buruh, berniaga, menjalankan aktiviti penternakan, berniaga serta mengambil upah sebagai buruh kelapa sawit untuk menambah pendapatan.
Kajian ini juga memberi manfaat dengan memahami isu-isu yang dihadapi oleh pesawah padi. Antara isu utama adalah seperti masalah kewangan yang tidak mencukupi, masalah kesihatan, kos sara hidup yang tinggi serta masalah yang berkaitan dengan aktiviti penanaman padi seperti masalah serangga perosak, serangan penyakit terhadap tanaman dan sistem pengairan sawah yang tidak sempurna.
Manfaat lain yang diperoleh hasil dari kajian tersebut ialah dapat mengenal pasti program-program yang boleh meningkatkan status ekonomi dan pendapatan pesawah padi. Contoh program yang bersesuaian untuk dilaksanakan adalah seperti mengadakan program kemahiran pesawah, program bantuan khusus untuk mengelakkan serangan penyakit dan serangga ke atas tanaman, program meningkatkan produktiviti petani dan program jaminan sosial serta bantuan kewangan/subsidi untuk meringankan beban pesawah padi.
Manfaat bagi Kajian Organisasi dan Projek Rintis Pembangunan Strategik Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor pula mendapati Pihak pengurusan PBT lebih memahami kehendak dan keperluan masyarakat setempat yang semakin mencabar. Masyarakat setempat juga boleh mengutarakan pandangan dan komen yang membina untuk memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan PBT di masa akan datang. Selain itu, hasil kajian juga dapat membantu Ahli Majlis dan pihak pengurusan PBT dalam memahami peranan masing-masing dan mengenal pasti golongan sasaran yang tepat untuk diberikan perkhidmatan secara optimum serta dapat membangunkan kerangka strategik untuk digunakan sebagai panduan kepada organisasi bagi melaksanakan perubahan.
Kajian tersebut juga dapat mengenal pasti proses-proses utama selari dengan peranan, misi, visi dan strategi organisasi serta menilai keberkesanan matriks prestasi semasa ke arah membangunkan matriks prestasi utama dan menilai keberkesanan perkhidmatan yang disediakan syarikat Alam Flora Sdn Bhd.
Bagi Kajian Tinjauan Berkala Sosiopolitik Di Kalangan Rakyat Selangor adalah untuk meninjau pendapat pengundi di Selangor berkenaan program-program yang dianjurkan oleh kerajaan negeri. Di samping itu kajian turut bertindak untuk mengenal pasti isu dan masalah yang berlaku di peringkat tempatan di seluruh negeri Selangor. Tinjauan ini penting untuk melihat sejauh mana penyampaian program-program kerajaan negeri di terima oleh rakyat Selangor dan menilai prestasi kerajaan serta perbandingan dapatan penemuan lepas terhadap beberapa isu berbangkit.
Kajian ini dapat melihat tahap kepuasan terhadap keadaan dalam negeri Selangor di mana hala tuju negeri dilihat berada pada tahap positif kerana kualiti kepemimpinan yang positif ditunjukkan oleh kerajaan negeri dan ahlinya melalui pemberian bantuan dan program mesra rakyat dan menjaga kebajikan rakyat.
Kajian ini juga meliputi tahap kepuasan terhadap PBT yang mana agak positif namun ia berbeza mengikut PBT kawasan responden dan prestasi PBT mula menunjukkan peningkatan ke atas perkhidmatan yang disediakan.
Secara keseluruhannya, kajian yang dijalankan banyak memberi manfaat kepada kerajaan negeri dalam menentukan hala tuju dan perancangan pembangunan yang akan datang. Selain itu, kerajaan negeri juga dapat merangka dasar baru meliputi keseluruhan rancangan yang dirangka sendiri oleh rakyat negeri Selangor.