Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
23) KAJIAN BASELINE GAS RUMAH HIJAU NEGERI SELANGOR
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan (jika ada) hasil Kajian Baseline Gas Rumah Hijau bagi Selangor. Jika kajian belum dibuat, adakah terdapat perancangan untuk melaksanakannya?
Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum melaksanakan kajian dan mempunyai data asas (baseline data) bagi gas rumah hijau (greenhouse gas – GHG). Namun begitu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Bandaraya Petaling Jaya telah mengenal pasti baseline jumlah pelepasan GHG pada tahun 2018 untuk digunakan bagi pembangunan pelan-pelan tindakan di Petaling Jaya.
Kerajaan Negeri sedar bahawa kajian data asas ini merupakan inisiatif penting bagi menilai pelepasan GHG dan merangka strategi mengurangkan jumlah pelepasan gas tersebut. Memandangkan terdapat keperluan bagi penyediaan data asas ini dalam memantau kadar pelepasan karbon di Negeri Selangor, Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau akan menyediakan rangka kerja yang meliputi pembangunan dasar ekonomi hijau, sistem pengurusan data/inventori GHG yang seragam dan pelan pasaran karbon serta blueprint bandar sifar karbon. Penyediaan data baseline ini juga telah digariskan dalam Dasar Perubahan Iklim Negeri Selangor yang mana dasar ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri menerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke 17/2024 bertarikh 7 Jun 2024 dan disahkan MMKN Ke 18/2024 bertarikh 3 Julai 2024.
Rangka kerja ini akan membantu Kerajaan Negeri dalam merancang dan melaksanakan langkah-langkah untuk mencapai sasaran pengurangan karbon. Pelaksanaan rangka kerja ini masih di peringkat pra pelaksanaan dengan kerjasama Jabatan/Agensi berkaitan di mana kajian kebolehlaksanaan dan analisis kos faedah (CBA) perlu dilaksanakan terlebih dahulu.
-
Nyatakan progres garis panduan pengiraan kredit karbon bagi Selangor dan bagaimana ia akan membawa impak kepada Kajian Baseline tersebut?
Buat masa ini, Kerajaan Negeri masih belum membangunkan Garis Panduan (GP) khusus berkaitan pengiraan kredit karbon untuk Negeri Selangor. Adalah menjadi satu keperluan kepada Kerajaan Negeri untuk meneroka pasaran kredit karbon yang berpotensi menyumbang hasil pendapatan kepada Kerajaan Negeri. Namun begitu, dalam mencapai matlamat ini, ianya perlu dilaksanakan dengan menjalankan kajian kebolehlaksanaan bagi menilai tahap ketersediaan dengan mengambil kira aspek-aspek berkaitan jenis projek pembangunan, pasaran dan permintaan kredit karbon serta peraturan dan piawaian antarabangsa agar pelan dan GP yang akan dibangunkan akan lebih sistematik, berfokus dan strategik. Perancangan bagi melaksanakan pasaran kredit karbon di Negeri Selangor perlu dilakukan secara teliti dan seiring dengan situasi ekonomi semasa. Penyediaan GP ini juga akan diselaraskan dengan dasar/polisi di peringkat Persekutuan di mana Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) sedang melaksanakan kajian Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (DPKK) dan pembangunan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara. Ini memastikan bahawa Negeri Selangor mempunyai sistem penetapan dan pengesahan kredit karbon yang seragam dengan negeri-negeri lain di Malaysia.
Secara keseluruhan, sekiranya kajian kebolehlaksanaan pasaran kredit karbon ini dilaksanakan, ianya dapat membantu dalam penetapan data baseline, membolehkan penilaian yang tepat terhadap keberkesanan projek karbon dalam mengurangkan pelepasan karbon dan menjadi sumber rujukan utama dalam memantau kemajuan projek-projek kredit karbon dari semasa ke semasa.