Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014
7 April - 11 April 2014 dan 14 April - 18 April 2014
77) KAFA MENENGAH
Tahun: 2014
Sesi: 1
Isu: Hal Ehwal Islam
Adun: Y.B. Tuan Shahrum Bin Mohd Sharif
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tujuan dan kepentingan penubuhan KAFA Menengah ini?
Pendidikan KAFA Menengah adalah pendidikan alternatif kepada murid sekolah menengah yang berminat mempelajari ilmu agama tetapi tidak mendapat tawaran ke Sekolah-sekolah Agama Menengah Negeri atau Persekutuan. Tujuan lainnya adalah untuk membantu Kerajaan Negeri mengurangkan masalah gejala sosial di Negeri Selangor serta memenuhi kehendak ibubapa yang cenderung memberikan pendidikan agama kepada anak-anaknya.
-
Apakah perancangan, bajet dan strategi kerajaan untuk mengembangkan KAFA Menengah ini?
Buat masa ini, KAFA Menengah dilaksanakan di Sekolah Rendah Agama (SRA) berikut;
- Bukit Sentosa Fasa 1, Hulu Selangor
- Bandar Tasik Puteri, Gombak
- Saujana Utama, Kuala Selangor
- Jalan Kebun, Klang
- Bandar Bukit Puchong, Sepang
- Medan Harun, Petaling
- Kampung Medan, Kuala Langat
- Pandan Indah, Hulu Langat
- Darul Ulum, Sg. Udang, Klang
Oleh kerana tempatnya menggunakan kemudahan sedia ada dan pengurusan guru akan ditampung menggunakan peruntukan sedia ada KAFA, hanya sebanyak RM367,200.00 sahaja diperlukan bagi menjalankan operasi KAFA Menengah iaitu bagi urusan Skim Pinjaman Buku Teks mulai tahun 2014-2017.
Apabila pelaksanaannya mulai stabil, Kerajaan mungkin akan menimbangkan supaya pendidikan KAFA Menengah dapat dilaksanakan di KAFA-KAFA Integrasi Negeri Selangor dan masjid-masjid yang berkemampuan.
-
Bagaimanakah proses pengambilan pelajar, latihan guru dan kadar gaji mereka?
Proses pengambilan pelajar, latihan guru dan kadar gaji adalah seperti berikut:
- Proses Pengambilan Pelajar
Penempatan murid adalah berdasarkan kepada calon yang lulus dalam Penilaian Sekolah Rendah (PSRA) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Walau bagaimananapun peluang masih terbuka/diberi kepada mereka yang gagal tetapi masih berminat untuk meneruskan pengajian.
- Latihan Guru dan Kadar Gaji
Latihan guru dijalankan dari semasa ke semasa sepanjang perkhidmatan mereka yang diuruskan oleh Unit Kurikulum dan Unit Latihan Bahagian Pendidikan Islam JAIS.
Guru-guru KAFA menengah yang dilantik adalah mengikut skim perkhidmatan guru KAFA yang menerima elaun sebanyak RM 1300.00 sebulan.