Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

19 November hingga 23 November 2012 dan 26 November hingga 30 November 2012

118) KAEDAH RAWATAN AIR LEBIH MURAH

Tahun: 2012

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Terdapat kaedah merawat air lebih murah. Berapakah jumlah anggaran air mentah di Selangor?

    Berdasarkan Kajian Semula Sumber Air Negara (2000-2050), dengan keluasan Negeri Selangor sebanyak 8,396 kilometer persegi (km2) dan taburan hujan tahunan sebanyak 2,190mm, jumlah air larian permukaan adalah sebanyak 6.38 bilion meter padu setahun iaitu bersamaan 17,000 juta liter sehari (JLH) setelah mengambil kira jumlah penyejatan dan susupan semula air bumi.

    Keperluan air di Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bagi bekalan air awam adalah 4,037 JLH, pengairan padi adalah 1,973 JLH, pertanian adalah 99 JLH dan penternakan adalah 23 JLH. Kesemua keperluan tersebut berjumlah 6,132 JLH. Manakala keperluan ‘environmental flow’ adalah sebanyak 10% iaitu 1,700 JLH. Maka, jumlah keseluruhan keperluan air adalah 7,832 JLH.

    Ini bermakna, Negeri Selangor masih lagi mempunyai 9,168 JLH air larian permukaan yang masih belum dimanfaatkan. Ini termasuklah air di dalam kolam tadahan banjir dan bekas lombong yang mana sebahagiannya terus mengalir ke laut. Manakala sumber air bumi masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.

    Selaras dengan itu, lebihan air yang boleh dimanfaatkan boleh disimpan ketika aliran banjir/flood flow dengan mengoptimakan penggunaan kolam takungan/water storage. Pelaksanaan aplikasi River Bank Filtration (RBF) dan juga pembangunan sumber air bumi (sehingga 15%) adalah dijangka mampu untuk menyumbang kepada peningkatan kebolehdapatan sumber air di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, kajian kemungkinan yang terperinci serta perancangan dan kaedah pengurusan lembangan sungai yang holistik adalah penting dalam memastikan sumber air mencukupi untuk semua sektor.

  2. Di kawasan manakah paling banyak mempunyai rezab air mentah?

    Melalui Pasukan Petugas Sumber Air Alternatif Negeri Selangor, LUAS telah mengenal pasti sebanyak dua puluh (20) kolam takungan sama ada kolam takungan banjir atau kolam bekas lombong yang berpotensi untuk dijadikan sumber air tambahan di Daerah Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Kuala Langat. Kolam-kolam berkenaan adalah merupakan rizab simpanan air mentah yang boleh dibangunkan sebagai sumber air tambahan tertakluk kepada kualiti airnya. Jumlah anggaran kapasiti kolam-kolam tersebut ialah 325 juta meter padu (m3). LUAS juga sedang menjalankan Kajian Kolam Bekas Lombong Sebagai Kolam Takungan Aliran Air Banjir di Lembangan Sungai Selangor yang akan bertindak secara dwifungsi di mana ianya bertindak sebagai kawalan tebatan banjir dan juga kolam penstoran air ketika berlakunya aliran banjir/flood flow. Kolam penstoran air ini juga akan digunakan jika berlakunya aliran rendah/low flow.

    LUAS juga telah mengenal pasti beberapa lokasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai sumber air tambahan seperti Kolam Projek Tebatan Banjir Sungai Rasau di Lembangan Klang dan juga kolam bekas lombong MC8 dan MC9 di Lembangan Langat. Walau bagaimanapun, kajian kemungkinan yang terperinci akan dilaksanakan bagi memastikan kebolehdapatan sumber air berkenaan. Kriteria yang perlu dilihat untuk kolam-kolam ini digunakan sebagai sumber air tambahan adalah keluasannya yang perlu melebihi 10 hektar, kualiti airnya yang perlu mencapai piawaian air minuman oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, lokasinya yang berhampiran dengan sungai dan muka sauk/LPA, serta ianya adalah tanah milik kerajaan dan anak syarikat kerajaan.

  3. Bagaimanakah kaedah rawatan air paling murah tersebut beroperasi?

    Pada ketika ini, semua loji rawatan air di Negeri Selangor menggunakan kaedah conventional di dalam merawat air, di mana pemakaian aluminium sulfat, klorin, silico-floride dan limestone masih digunakan. Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengamalkan sikap terbuka di dalam menggunakan teknologi terkini yang ada di pasaran seperti penggunaan ultra filtration, membrane technology Deionizing dan lain-lain dalam usaha mencapai tujuan mendapatkan pengeluaran air yang maksimum dari segi kuantiti di samping kualiti yang terbaik.

    Namun demikian, di dalam mengkaji dan meneliti penggunaan teknologi terkini itu, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa memberi keutamaan kepada kepentingan pengguna memandangkan setiap teknologi yang digunakan itu kelak akan melibatkan kos yang sekiranya tidak diteliti dengan sewajarnya boleh membebankan pengguna akhirnya.

Lampiran

Tiada Lampiran.