Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020

16 Mac 2020 - 17 Mac 2020

113) KAEDAH PEWARTAAN DAN PENYAHWARTAAN STATUS HUTAN

Tahun: 2020

Sesi: 1

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Tuan Syamsul Firdaus Bin Mohamed Supri

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kriteria yang digunakan dalam mewartakan status hutan?

    Merujuk kepada Seksyen 7, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, Pihak Berkuasa Negeri boleh menjadikan mana-mana tanah sebagai suatu Hutan Simpanan Kekal (HSK) dan dengan menyiarkannya dalam Warta.

    Namun demikian, adalah lebih sesuai jika mana-mana tanah yang dijadikan sebagai HSK itu mempunyai ciri-ciri yang berkualiti tinggi seperti mengandungi elemen kepelbagaian biologi (flora dan fauna) bagi memenuhi konsep penubuhan hutan itu sendiri.

    Dalam hubungan ini, antara kriteria yang digunakan dalam mewartakan status hutan sebagai HSK ialah kedudukan dan keluasan tanah itu serta tarikh ianya diwartakan setelah mendapat kelulusan Kerajaan Negeri melalui MMKN.

     

  2. Berapakah kategori hutan yang disenaraikan di dalam pewartaan

    Merujuk kepada Seksyen 10, Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985, terdapat dua belas (12) kelas hutan yang boleh diwartakan iaitu:-

    • Hutan Pengeluaran Kayu di bawah perolehan berkekalan
    • Hutan Perlindungan Tanah
    • Hutan Tebus-guna Tanah
    • Hutan Kawalan Banjir
    • Hutan Tadahan Air
    • Hutan Perlindungan Hidupan Liar
    • Hutan Simpanan Hutan Dara
    • Hutan Lipur
    • Hutan Pelajaran
    • Hutan Penyelidikan
    • Hutan Bagi Maksud-maksud Persekutuan
    • Hutan Taman Negeri

    Secara ringkasnya, daripada 12 kelas hutan ini, hanya satu sahaja hutan yang dikelaskan untuk pengeluaran kayu. Manakala selebihnya adalah merupakan kategori kelas hutan perlindungan.

  3. Apakah jenis-jenis hutan yang boleh diterokai dan ditebang serta dibenarkan bagi sebarang aktiviti manusia?

    Merujuk kepada Dasar Perhutanan Negara 1978 (Pindaan 1992), kesemua HSK akan diuruskan berdasarkan kepada prinsip pengurusan hasil secara berkekalan untuk memaksimumkan faedah sosial, ekonomi dan alam sekitar. Pengawasan yang rapi terhadap kawasan hutan haruslah dijalankan secara sistematik dan berterusan. Hutan Simpanan Kekal hendaklah diusahasil berdasarkan kepada keupayaan semuladi hutan, penggunaannya yang optimum dan penggunaan tanah hutan yang komprehensif.

    Bagi tujuan pengusahasilan sumber-sumber hutan secara berkekalan, pengeluaran kayu balak akan dikawal berdasarkan kepada keseimbangan antara permintaan dengan pengeluaran serta penggunaan maksimum. Regim pengurusan hutan yang terbaik akan diamalkan ke atas Hutan Berhasil yang digubal berdasarkan maklumat yang diperolehi melalui pengurusan hutan dan kajian operasi yang bersepadu dan sistematik. Untuk memastikan amalan pengurusan secara berkekalan, Hutan Berhasil akan diusahasil secara komprehensif melalui tebangan memilih dan meninggalkan stok dirian yang mencukupi untuk pusingan tebangan seterusnya.

    Semua rancangan pengurusan hutan bagi hutan darat dan hutan paya laut hendaklah sentiasa diselia dan dikemaskinikan bersesuaian dengan prinsip pengurusan secara berkekalan. Pada masa yang sama, rancnagan pemeliharaan dan pemuliharaan ke atas hutan yang telah diusahasil hendaklah dilaksanakan dan diselia.

Lampiran

Tiada Lampiran.