Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019
18 Mac 2019 - 25 Mac 2019
271) KAEDAH MENGHAPUSKAN NYAMUK AEDES
Tahun: 2019
Sesi: 1
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Puan Lee Kee Hiong
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Nyatakan kaedah menghapuskan nyamuk Aedes yang digunakan sejak tahun 2018?
Soalan berkaitan denggi akan dijawab bersekali termasuk soalan no 35 daripada Yang Berhormat Sungai Pelek, soalan 135 daripada Yang Berhormat Subang Jaya, dan soalan 202 daripada Yang Berhormat Bukit Lanjan.
Langkah-langkah kawalan dan pencegahan denggi bagi menghapuskan nyamuk Aedes yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia adalah seperti berikut:
1.Langkah-langkah kawalan adalah seperti:
- Pemantauan kes yang dilaporkan secara harian di peringkat daerah, negeri dan ibu pejabat;
- Melaksanakan aktiviti kawalan secara berkesan keatas setiap kes yang dilaporkan seperti Pemusnahan Tempat Pembiakan Aedes, Semburan Racun Termal untuk nyamuk dewasa (fogging dan ULV) dan Semburan Racun untuk membunuh larva (Larvaciding);
- Melaksanakan aktiviti Pendidikan Kesihatan kepada komuniti terlibat – Ceramah, Perbincangan Kumpulan Kecil, Tunjuk Cara, Nasihat Individu, Hebahan Awam, Risalah, Poster dan Media Luar;
- Menggerakkan komuniti melaksanakan aktiviti gotong-royong untuk mencari dan memusnahkan tempat-tempat pembiakan Aedes;dan
- Melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit
2.Langkah-langkah pencegahan adalah seperti:
- Pemantauan indeks pembiakan Aedes di kawasan berisiko tinggi denggi dan kawasan tumpuan awam;
- Melaksanakan aktiviti Penghapusan Tempat Pembiakan Aedes kawasan berisiko tinggi denggi dan kawasan tumpuan awam;
- Melaksanakan Semburan Kabus (fogging) pencegahan di kawasan yang mempunyai indeks pembiakan Aedes yang tinggi;
- Melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975; dan
- Melaksanakan aktiviti Pendidikan Kesihatan kepada komuniti setempat
-
Adakah Kerajaan Negeri akan menggunakan kaedah baru untuk menghapuskan nyamuk Aedes memandangkan kes denggi semakin meningkat? jika ya, nyatakan butir-butirnya.
Pada tahun 2019, Kerajaan Negeri akan menggunakan tambahan strategi baru dalam kawalan dan pencegahan denggi iaitu;
- Kawalan biologi menggunakan Nyamuk Aedes dengan Wolbachia. Wolbachia adalah sejenis mikroorganisme yang hidup secara semulajadi dalam organ-organ pembiakan serangga. Ia wujud dalam kira-kira 60 peratus serangga kecuali nyamuk Aedes Aegypti. Oleh kerana Wolbachia tidak terdapat dalam nyamuk Aedes Aegypti seperti kebanyakan serangga lain, maka suntikan akan dilakukan di dalam makmal sebelum ia dilepaskan ke lapangan. Setelah membiak dalam jangka masa yang tertentu, kebanyakan nyamuk Aedes Aegypti di dalam kawasan itu akan mengandungi Wolbachia dan tidak mempunyai virus denggi. Negara yang telah menjalankan kawalan rintis ini adalah seperti Indonesia, Singapura, Thailand, China, Brazil dan Australia. Kajian rintis di Malaysia telah dijalankan di 7 lokaliti Hotspot di Selangor dan menunjukkan kejayaan penurunan 50-80% kes di lokaliti tersebut. Kawalan biologi ini akan dikembangkan di lokaliti-lokaliti tumpuan lain terutama lokaliti Wabak Tak Terkawal dan Hotspot.
- Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan sedang merancang melaksanakan Program Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters. Agensi yang terlibat adalah semua agensi kerajaan samada persekutuan mahupun kerajaan negeri termasuk Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan anak syarikat di bawah kerajaan negeri. Program ini merupakan pemerkasaan anggota kerajaan dalam pengwujudan kawasan bebas Aedes di tempat kerja dan kuarters kerajaan. Ia akan dilancarkan pada bulan April ini dengan beberapa siri pendedahan dan latihan yang diadakan oleh Kerajaan Negeri. Di antara aktiviti utama yang akan dilaksanakan adalah;
i. Menjalankan alert kes dan wabak demam denggi oleh Pejabat Kesihatan Daerah kepada jabatan yang terlibat untuk tindakan kawalan dan pencegahan;
ii. Menjalankan Pemusnahan Tempat Pembiakan Aedes di tempat kerja secara berkala;
iii. Mewujudkan jaringan maklumat berkaitan situasi demam denggi di tempat kerja seperti melalui Whatsapp, Facebook dan lain-lain;
iv. Mewujudkan kumpulan sukarelawan denggi menggunakan konsep Corporate Social Responsibility (CSR) di kalangan warga tempat kerja bagi membantu lokaliti wabak dan hotspot; dan
v. Menjalankan aktiviti penguatkuasaan di tempat kerja dan
vi. Pihak Jabatan Kesihatan Negeri juga telah melancarkan beberapa siri kempen iaitu yang sedang dilaksanakan adalah Kempen Selangor Gempur Aedes Siri 2/2019 selama 6 minggu bermula dari 25.02.19 sehingga 7.04.19 (tempoh 6 minggu) dengan penumpuan aktiviti kepada :
vii. Memperkukuhkan aktiviti Pemusnahan Tempat Pembiakan Aedes secara berfokus di lokaliti sporadik terpilih;
viii. Memperkukuhkan One Stop Crisis Centre (OSCC) daerah bagi merancang dan menyelaras aktiviti kawalan denggi bersama agensi lain terutama pihak berkuasa tempatan bagi meningkat dan mengoptimakan semua sumber di daerah;
viv. Mengoptima anggota di Pejabat Kesihatan Daerah melibatkan aktiviti Pemusnahan Tempat Pembiakan Aedes dan larvaciding terutama selepas waktu pejabat, cuti hujung minggu dan kelepasan am;
vv. Meneruskan aktiviti penguatkuasaan di tempat tumpuan awam yang berisiko kepada punca jangkitan Aedes; dan
vvi. Menggalakkan semua lokaliti COMBI menjalankan aktiviti promosi kesihatan rumah ke rumah dan pemusnahan tempat pembiakan denggi pada setiap hujung minggu. Di samping itu juga menggalakkan mobilisasi ahli COMBI ke lokaliti Hotspot dan wabak tak terkawal.