Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
3 September 2018 hingga 7 September 2018
125) KADAR PREMIUM TANAH YANG TINGGI
Tahun: 2018
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kaedah penilaian yang digunakan oleh JPPH untuk menentukan kadar nilaian sesuatu lot tanah?
Premium tanah perlu dibayar apabila berlaku permohonan penilaian untuk maksud Tukar Syarat, Pemberimilikan Tanah dan Perlanjutan Tempoh Pajakan.
Asas nilaian:
- Penilaian untuk maksud Tukar Syarat adalah nilai pasaran berasaskan kepada kegunaan tanah yang diluluskan mengikut Peruntukan Kaedah Tanah Negeri Selangor.
- Penilaian untuk maksud Pemberimilikan Tanah adalah nilai pasaran berasaskan kepada kegunaan tanah yang dipohon mengikut Peruntukan Kaedah Tanah Negeri Selangor.
- Penilaian untuk maksud Perlanjutan Tempoh Pajakan adalah nilai pasaran berasaskan kepada kegunaan tanah yang dipohon mengikut Peruntukan Kaedah Tanah Negeri Selangor.
Dalam menentukan kadar nilaian tanah sesuatu lot tanah bagi kes Tukar Syarat, Pemberimilikan Tanah dan Perlanjutan Tempoh Pajakan, kaedah penilaian yang digunakan adalah Kaedah Perbandingan atau Kaedah Baki.
Kaedah Perbandingan:
Kaedah ini adalah satu proses di mana harta tanah yang dinilai dibandingkan dengan harga tanah serupa yang telah dijualbeli di kawasan berdekatan / kawasan sekitar. Di dalam kaedah ini bukti jualbeli harta tanah serupa dianalisis dan pelarasan hendaklah dibuat untuk menunjukkan perbezaan antara harta tanah yang dinilai dengan perbandingan.
Pelarasan perbezaan bagi faktor seperti masa, saiz, pegangan hakmilik, topografi tanah, bentuk, jenis, keadaan sekitar, perancangan, densiti pembangunan dan sebagainya hendaklah diambilkira.
Kaedah Baki
Kaedah baki adalah berasaskan konsep bahawa nilai pasaran sesuatu harta tanah adalah bergantung kepada potensi pembangunan harta tanah tersebut. Melalui Kaedah Baki, potensi pembangunan harta tanah tersebut dapat ditunjukkan oleh perbezaan antara nilai pembangunan kasar dan kos pembangunan.
Kaedah baki biasanya digunakan untuk menilai sesuatu harta tanah yang mempunyai potensi pembangunan atau pembangunan semula berdasrkan kegunaan tanah yang tertinggi dan terbaik (higest and best use). Kaedah ini amat sesuai digunakan untuk menilai harta tanah yang mempunyai pelan tatatur (layout plan) yang telah diluluskan.
-
Dan apakah rancangan bagi mengurangkan kadar bebanan kepada rakyat?
Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan bebanan kewangan rakyat bagi melaksanakan tanggung jawab melunaskan bayaran premium tanah kepada Kerajaan Negeri apabila kelulusan pemberimilikan tanah ataupun kelulusan melanjutkan tempoh pajakan tanah telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri. Peningkatan kos sara hidup telah menyebabkan ketidakmampuan rakyat untuk menjelaskan bayaran premium dalam tempoh yang ditetapkan sehingga menyebabkan kelulusan pemberimilikan terbatal.
Oleh itu Kerajaan Negeri melalui Pejabat Tanah dan Galian Selangor telah mengeluarkan Pekeliling-Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Selangor yang boleh dilayari melalui laman sesawang PTGS sebagai rujukan awam mengenai insentif-insentif yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan kadar bebanan kepada rakyat.