Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024

15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024

39) KADAR PENGGAJIAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2024

Sesi: 3

Isu: n/a

Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendekatan Kerajaan Negeri untuk memastikan kadar gaji minimum RM1,700 dilaksanakan di negeri ini?

    Sebagaimana Yang Berhormat Ijok sedia maklum, Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,700 bermula tahun 2025. Kerajaan Negeri sudah pasti akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan kadar gaji minimum RM1,700 dilaksanakan di negeri ini selaras dengan dasar yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

    Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 telah menetapkan gaji minimum nasional sebanyak RM1,200 bagi sektor swasta di Semenanjung Malaysia (dan RM1,100 di Sabah, Sarawak dan Labuan). Sebagai salah satu negeri yang maju dan mempunyai ekonomi yang lebih berkembang, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah lebih proaktif untuk meningkatkan kadar gaji minimum di negeri ini. Pada 1 Julai 2020, Selangor telah mengumumkan bahawa kadar gaji minimum yang wajib dilaksanakan untuk pekerja di negeri ini adalah RM1,500 untuk pekerja sektor swasta, dengan peruntukan bahawa kadar ini akan dinaikkan kepada RM1,700 pada masa depan, seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan perkembangan perniagaan di negeri ini.

    Pendekatan Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan pelaksanaan kadar gaji minimum di negeri ini adalah melalui penguatkuasaan undang-undang bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), memberi sokongan dan bantuan kepada syarikat mikro, kecil dan sederhana (MSME) agar dapat mengadaptasi perubahan tanpa menjejaskan operasi, dan memastikan pekerja diberi latihan dan pendidikan mengenai hak mereka.

    Selain itu, bagi mencapai sasaran gaji minimum yang ditetapkan, Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan pelbagai pihak termasuk badan berkanun dan sektor swasta untuk mengalakkan pemberian gaji yang adil dan berpatutan di samping mengambil kira keadaan ekonomi dan kadar inflasi, dan memastikan syarikat yang mendapat kontrak daripada Kerajaan Negeri mematuhi gaji minimum yang ditetapkan.

    Kerajaan Negeri komited memastikan kadar gaji minimum RM1,700 dilaksanakan di negeri ini. Namun, pelaksanaan yang berkesan memerlukan pemantauan berterusan dan kesedaran bersama daripada semua pihak.

  2. Berapakah purata gaji dan pendapatan median di Negeri Selangor ketika ini dibandingkan dengan negeri-negeri lain?

    Untuk makluman Yang Berhormat Ijok, berdasarkan Survei Gaji dan Upah (SGU) yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pada tahun 2022, penengah gaji di Negeri Selangor adalah RM 3,194, yang mencatatkan penengah gaji dan upah ketiga tertinggi berbanding negeri-negeri lain di Malaysia.

    Berdasarkan pecahan mengikut negeri pada tahun 2022, Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan penengah gaji & upah bulanan tertinggi sebanyak RM3,916, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan RM3,276, Selangor dengan RM3,194, Wilayah Persekutuan Labuan dengan RM2,703 dan Pulau Pinang dengan RM2,507. Kelima-lima negeri ini melebihi paras penengah gaji & upah bulanan nasional pada RM2,424.

    Pada masa yang sama, berdasarkan penemuan survei juga mendapati purata gaji dan upah bulanan bagi Negeri Selangor adalah pada RM3,737, meletakkan Negeri Selangor di tempat ketiga berdasarkan purata gaji dan upah tertinggi, seterusnya meletakkan Negeri Selangor antara negeri yang melepasi paras purata nasional pada RM3,212. Selain itu, empat negeri lain melepasi paras purata nasional iaitu Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan RM 4,666 yang mempunyai purata gaji & upah bulanan tertinggi, diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dengan RM4,207, Wilayah Persekutuan Labuan dengan RM3,418, dan Pulau Pinang pada RM3,313.