Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2017
24 Julai 2017 hingga 25 Julai 2017
132) KADAR PENGANGGURAN SELANGOR
Tahun: 2017
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Berapa jumlah penganggur di Selangor mengikut pecahan umur,kaum dan jantina bagi tahun 2008-2017 dan apakah faktor pengangguran?
Statistik kadar pengangguran golongan belia diperolehi daripada Penyiasatan Tenaga Buruh (PTB) yang telah dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dengan merujuk kepada penduduk yang berumur 15 hingga 64 tahun semasa minggu rujukan.
Berdasarkan maklumat tersebut, bilangan penganggur dan kadar pengangguran Malaysia dan Selangor bagi tempoh 2008 hingga 2016, sukupertama 2016 dan suku pertama 2017 seperti Jadual 1. Bilangan penganggur di Selangor mengikut pecahan jantina, kumpulan umur dan kumpulan etnik utama seperti di Jadual 2 manakala kadar pengangguran mengikut pecahan jantina, kumpulan umur dan kumpulan etnik utama seperti di Jadual 3.
Berdasarkan maklum balas daripada jabatan dan agensi seperti Jabatan Tenaga Kerja (JTK), Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN), Selangor Human Resources Development Centre (SHRDC) dan Jobstreet.com, antara faktor mengapa pengangguran masih wujud di Selangor adalah disebabkan oleh perkara berikut :
- permintaan gaji yang tinggi (unrealistic);
- penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah;
- terlalu memilih pekerjaan dan syarikat;
- kurang kemahiran berkomunikasi;
- karakter, sikap dan personaliti graduan yang lemah; dan
- keadaan ekonomi negara yang lembap.
Di samping itu, masalah pengangguran juga bukan hanya disebabkan tiada peluang pekerjaan tetapi terdapat juga segelintir golongan anak-anak muda yang kurang berminat untuk mengisi jawatan di sektor yang sedia ada, terutamanya sektor pekerjaan 3D (Dirty, Difficult, Dangerous) sehingga terdapat kebergantungan yang besar kepada buruh asing.
-
Apakah pelan tindakan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor ?
Pelan tindakan Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor adalah seperti berikut:
- Program Karnival Kerjaya (Selangor Job Fair) adalah kerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja Selangor (JTK) dan Job Malaysia iaitu sebuah program yang memberi peluang kepada rakyat Selangor bagi mendapatkan pekerjaan. Program yang dilaksanakan pada 11 Mac 2017 telah berjaya melibatkan bilangan pengunjung seramai 559 orang dengan tawaran kekosongan jawatan sebanyak 1,382.
- Menyediakan pendidikan kemahiran dan vokasional secara percuma di Kolej INPENS bagi belia yang kurang berkemampuan tetapi masih ingin meneruskan pembelajaran tanpa mempunyai latar belakang pendidikan cemerlang.
- Program Latihan Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS) iaitu sebuah program latihan keusahawanan dalam bidang Penternakan, Bakeri, Percetakan Segera, Jahitan Pakaian, Penjagaan Awal Kanak-Kanak, Makanan Ringan (cendul dan laksa), Penyelenggaraan Penyaman Udara, Mutawwif, Rawatan Wanita Selepas Bersalin dan Jurubekam Klinikal Bertauliah. Program ini yang diberikan secara percuma merangkumi beberapa kategori iaitu belia, suri rumah, pesara dan ibu tunggal.
- Program Strategi Peningkatan Kemahiran Belia atau Youth Enhancement Strategy Selangor (YES) yang memberi fokus kepada belia yang tidak mempunyai akademik cemerlang untuk menjalani latihan di Selangor Human Resource Development Centre (SHRDC) bagi meningkatkan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu seterusnya membolehkan mereka mendapat pekerjaan selepas tamat latihan.
- Program Graduate Employability and Enhancement Selangor (PROGRES) adalah sebuah program yang diperkenalkan pada tahun 2016 untuk memberi peluang kepada belia-belia yang masih belum mendapat pekerjaan untuk menjalani latihan meningkatkan kemahiran kebolehpasaran belia khususnya di Selangor termasuk penempatan di syarikat-syarikat terpilih.
-
Berapakah jumlah peluang pekerjaan yang berjaya ditawarkan dan disi oleh mereka yang turut serta dalam Program Jom Cari Kerja mengikut pecahan daerah bagi tahun 2008-2017?
Karnival kerjaya yang telah dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sejak tahun 2009 adalah sebuah program yang memberi peluang kepada rakyat Selangor bagi mendapatkan pekerjaan sekaligus mengurangkan kadar pengangguran di Negeri Selangor. Pada mulanya, karnival kerjaya ini diberi nama ’Jom Kerja’, tetapi telah diberi penjenamaan semula kepada ’Selangor Job Fair’ pada tahun 2016.
Usaha sama antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor dalam menjayakan karnival kerjaya ini, sedikit sebanyak membantu rakyat Selangor menaikkan taraf kehidupan dan membasmi kadar kemiskinan.
Data maklumat berkenaan peluang pekerjaan untuk Program Jom Cari Kerja / Selangor Job Fair hanya dapat diberikan dari tahun 2016 hingga 2017.
Berikut adalah maklumat bilangan penempatan bagi calon-calon yang telah berjaya mengisi kekosongan jawatan dari program Jom Kerja / Selangor Job Fair seperti di Jadual 4.
Selain karnival kerjaya anjuran Kerajaan Negeri Selangor, Pusat JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor juga telah menganjurkan karnival kerjaya. Data maklumat berkenaan bilangan penempatan calon-calon yang berjaya mengisi kekosongan jawatan dari tahun 2011 hingga 2016 seperti di Jadual 5.
Jadual 4: Bilangan Penempatan bagi Jom Kerja / Selangor Job Fair dari tahun 2016 hingga 2017 di Negeri Selangor
Bil Daerah/ Lokasi Tarikh Program Syarikat Terlibat Jumlah Kekosongan Jawatan Pemohon Berdaftar (Orang)
Jumlah Penempatan 2016 1. Ideal Convention Centre (IDCC) 28 Mei 2016 73 476 4,204 347 2. Kuala Langat 03 Sept 2016 28 2,400 1,499 1,227 3. Dataran Shah Alam (Ambang 2017) 31 Dis 2016 35 4,600 2,915 2,493 2017 1. Sepang 11 Mac 2017 28 1,382 559 470 Sumber : Pusat JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor
Jadual 5: Bilangan Penempatan bagi Karnival Kerjaya JobsMalaysia dari tahun 2011 hingga 2016 di Negeri Selangor
Tahun Bilangan Penempatan 2011 2,015 2012 1,850 2013 1,202 2014 2,616 2015 4,429 2016 6,833 Jumlah 18,945 Sumber : Pusat JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor