Mesyuarat Ketiga (Bajet) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2022

23 - 25 November, 29 - 30 November, 1 - 2 Disember & 5 - 6 Disember 2022

166) KADAR PENGANGGURAN DI SELANGOR

Tahun: 2022

Sesi: 3

Isu: Pekerjaan

Adun: Y.B. Puan Lim Yi Wei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kadar pengangguran di Negeri Selangor dalam kuarter ke-3 tahun 2022, mengikut pecahan umur?

    Berdasarkan statistik tenaga buruh yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran di Selangor pada 2021 adalah 4.3 peratus dengan sejumlah 158.5 ribu penganggur. Kadar pengangguran di Selangor kekal tinggi berbanding tahun 2019 iaitu tempoh sebelum pandemik yang merekodkan kadar pengangguran pada 2.9 peratus dengan bilangan penganggur seramai 103.4 ribu orang. Kenaikan kadar pengangguran dalam tempoh pandemik sejak awal tahun 2020 boleh dikaitkan dengan peningkatan bilangan pekerja yang telah diberhentikan kerja susulan aktiviti ekonomi yang tidak dapat beroperasi selaras dengan langkah kawalan pergerakan dan prosedur operasi standard yang ditetapkan bagi mengawal penularan virus.

     

    Melihat kepada perincian kadar penganggur pada tahun 2021 mengikut kumpulan umur, lebih 60 peratus penganggur di Selangor berada dalam kumpulan umur 15 hingga 24 tahun dan 25 hingga 34 tahun, iaitu masing-masing sebanyak 33.8 peratus dan 30.6 peratus pada tahun 2021.

     

    Berdasarkan statistik terkini bagi suku tahun ketiga (ST3) 2022, kadar pengangguran di Selangor turun kepada 3.2 peratus berbanding suku yang sama tahun 2021 (ST3 2021: 3.6%) dengan jumlah seramai 132 ribu penganggur.

     

    MAKLUMAT TAMBAHAN

    i.        Jadual 1 : Bilangan penganggur dan kadar pengangguran di Selangor tahun 2019 – 2021 dan ST1 2022 – ST3 2022

    ii.       Jadual 2: Peratus pecahan penganggur mengikut kumpulan umur, Malaysia dan Selangor, 2019 – 2021

    Hanya terdapat data tahunan sahaja bagi peratus pecahan penganggur mengikut kumpulan umur

    iii.      Konsep Asas Statistik Tenaga Buruh

    a.     Statistik tenaga buruh, guna tenaga dan pengangguran diperoleh daripada Survei Tenaga Buruh (STB) dan merujuk kepada penduduk yang berumur 15-64 tahun semasa minggu rujukan.

    STB menggunakan rekabentuk pensampelan berkebarangkalian yang dilaksanakan melalui pendekatan isi rumah untuk mendapatkan maklumat anggaran tenaga buruh dan pengangguran peringkat penduduk. Survei ini dilaksanakan mengikut piawaian yang ditetapkan badan antarabangsa iaitu International Labour Organization (ILO) yang diguna pakai oleh kebanyakan negara.

    b.    Menganggur merujuk kepada mereka yang berada dalam tenaga buruh yang tidak bekerja semasa minggu rujukan tetapi bersedia untuk bekerja atau mencari kerja dalam minggu rujukan.

    c.    Kadar Pengangguran ialah perkadaran penduduk yang menganggur kepada jumlah penduduk dalam tenaga buruh.

  2. Berapakah pekerjaan yang telah ditawarkan dan diambil secara berjayanya melalui program-program kerjaya Kerajaan Negeri?

    Pada tahun 2022, Program Selangor Job Fair ini dilaksanakan dalam skala mega dan mendapat sambutan yang sangat baik. Program ini telah diadakan pada 11 dan 12 Jun 2022 di Pusat Konvensyen MBSA. Sebanyak 107 syarikat dan 8 agensi terlibat dalam menjayakan program ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 20,490 peluang pekerjaan yang merangkumi pelbagai sektor dan jawatan ditawarkan kepada pencari kerja seperti jurutera, akauntan, pengurus, pereka grafik, penyelia, kerani, operator pengeluaran, pelayan (krew restoren), wartawan dan lain-lain jawatan. Pecahan sektor yang terlibat adalah seperti jadual di bawah.

    Hasil analisis yang diperolehi, daripada 8,201 orang jumlah pencari kerja yang hadir, seramai 3,601 orang (44%), telah ditemu duga dan daripada keseluruhan calon yang dipanggil temu duga seramai 1,996 orang (55%) daripada mereka telah berjaya mendapat pekerjaan.

    Kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menganjurkan program Selangor Mega Job untuk kali kedua pada awal Disember 2022 bertempat di Malaysia Agro Exposition Parks (MAEPS) Selangor yang akan melibatkan beberapa industri dan sektor antaranya perhotelan, sukan, pemasaran dan jualan, makanan & minuman, automotif, teknologi maklumat, peruncitan, pentadbiran dan perkhidmatan serta lain-lain industri.

Lampiran

Tiada Lampiran.