Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

61) KADAR CAPAIAN INTERNET/WIFI DI SELANGOR

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Sains, Teknologi & ICT

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Senaraikan kadar capaian internet mengikut pecahan daerah di Negeri Selangor bagi tahun 2010-2012 dan apakah kadar capaian internet WiFi yang ideal bagi Negeri Selangor yang merupakan pusat pentadbiran dan komersial untuk Malaysia?

    Senarai kadar capaian internet mengikut capaian pecahan daerah di Negeri Selangor bagi tahun 2010-2012 adalah seperti berikut:

        Q1   Q2   Q3   Q4   Q1   Q2   Q3   Q4   Q1
    Daerah 2010 2010 2010 2010 2011 2011 2011 2011 2012
    Gombak 39.2 39.8 49.2 52.8 68.1 57.7 62.5 58.0 56.5
    Klang 42.0 46.4 46.4 55.7 61.3 47.1 49.0 47.2 45.3
    Kuala

    Langat

    23.3 24.5 30.6 31.3 35.4 33.4 38.1 66.9 42.1
    Kuala

    Selangor

    22.6 24.7 31.2 32.6 35.7 30.3 34.2 30.5 36.1
    Petaling 69.8 78.3 88.3 95.3 102.5 81.0 85.4 81.1 63.4
    Sabak

    Bernam

    30.4 33.3 36.6 44.0 51.0 21.9 23.9 21.4 35.5
    Sepang 68.6 52.6 63.2 64.2 105.5 101.2 108.8 109.4 76.9
    Ulu Langat 45.3 49.2 57.4 62.2 68.7 65.5 69.9 66.5 66.1
    Ulu

    Selangor

    19.1 20.5 24.9 26.6 30.1 28.4 30.6 29.2 34.1

    Nota :

    * Jumlah isi rumah adalah unjuran berdasarkan kepada Banci 2000 yang dilakukan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

    * Hanya langganan Jalur Lebar Berdaftar sahaja yang diambil kira dalam setiap daerah

    (tidak termasuk Pay-Per-Use & Prepaid Broadband) * Daerah Sepang adalah termasuk Putrajaya.

    Kadar capaian internet  WiFi yang ideal bagi Negeri Selangor yang merupakan pusat pemtadbiran dan komersial untuk Malaysia yang sepatutnya adalah 100%. Walau bagaimanapun berdasarkan data daripada SKMM di Jadual 1, kadar capaian internet adalah seperti berikut dan kadar capaian inetrnet di Selangor pada 2012 QTR 1 adalah 75.5%

    Jadual 1: Kadar Penembusan internet / 100 isi rumah

    State   2011   2012 QTR 1
    Johor 60.7 61.4
    Kedah 56.5 56.9
    Kelantan 45.3 44.7
    Melaka 66.4 67.2
    Negeri Sembilan 76.0 75.6
    Pahang 49.0 49.4
    Perak 52.2 52.8
    Perlis 84.9 83.7
    Pulau Pinang 82.8 83.4
    Selangor   74.8   75.5
    Terengganu 58.6 58.8
    Sabah 32.7 32.9
    Sarawak 47.5 47.5
    W. P.Kuala Lumpur 107.4 112.1
    W.P Labuan 73.1 71.1
    Malaysia 62.3 62.9

    Explanatory notes:

    A penetration rate of over 100% can occur because of multiple subscriptions.

    *Source: COMMUNICATIONS & MULTIMEDIA A A POCKET BOOK OF STATISTICS

  2. Apakah langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor bagi mengurangkan jurang capaian Internet dan informasi antara bandar dan desa di Selangor bagi memudahkan urusan harian rakyat negeri Selangor?

    Langkah-langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri Selangor  bagi mengurangkan jurang capaian internet dan informasi antara bandar dan desa adalah seperti berikut:

     i.     Menyediakan kemudahan Wifi Percuma kepada kepada rakyat

    Projek WIFI adalah usaha kerajaan negeri memperluaskan kemudahan wayarles jalur lebar dan akses Internet ke semua kawasan dalam negeri Selangor. Kemudahan WiFi  ini akan diperluaskan ke seluruh Negeri Selangor bagi mencapai jalinan perhubungan yang menyeluruh. Tumpuan juga akan diberi kepada usaha perluasan WiFi ini di kawasan luarbandar dan terpencil bagi  memastikan penyebaran ICT yang meluas dan sampai ke kawasan luar bandar dan kepada golongan yang kurang berkemampuan. Dalam usaha mempercepatkan peluasan WiFi ini Kerajaan Negeri telah memperuntukkan bajet melalui Geran Selangorku untuk meningkatkan kadar penembusan ICT kepada masyarakat awam termasuk di kawasan luar bandar dan kawasan luar liputan.  Ia juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempersiap masyarakat atau rakyat menghadapi cabaran dalam ekonomi berasaskan pengetahuan.   Penekanan yang lebih diberikan bagi memastikan akses yang lebih menyeluruh kepada perkhidmatan dalam talian dan kemampuan memiliki PC. Kerajaan akan terus memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang digital dengan menyedia, melaksana dan menggalakkan penggunaan perkhidmatan dalam talian ke seluruh negara bagi membolehkan rakyat mendapatkan capaian dan menggunakan pengetahuan berasaskan Internet dan sumber maklumat sebagai sebahagian daripada kehidupan.

     ii.      Menyediakan Pusat Siber Rakyat (PSR)

    Antara langkah yang diambil oleh  Kerajaan Negeri bagi mengurangkan jurang capaian internet dan informasi ialah  penubuhan Pusat Siber Rakyat yang dibiayai oleh Kerajaan  dengan konsep menggabungkan ilmu, maklumat dan pengetahuan dengan menggunakan medium berbentuk fizikal dan digital dan menjadikan PSR untuk penyebaran ilmu ICT bagi masyarakat luar bandar.  Ia juga sebagai salah satu usaha kerajaan untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan. PSR yang ditubuhkan ini juga adalah bagi meningkatkan pendidikan komputer dan mengupayakan komuniti luar bandar mendapat akses dan menggunakan maklumat bagi meningkatkan taraf sosial dan ekonomi mereka. Beberapa program khusus juga akan dirangka dan dilaksanakan bagi melengkapkan orang kurang upaya, warga emas, pengusaha perusahaan mikro, ibu tunggal, belia dan golongan miskin di bandar dengan penggunaan perkhidmatan ICT dan seterusnya membantu peningkatan proses pembelajaran, khususnya kepada mereka yang kurang kemampuan.

    PSR ini telah dilaksanakan pada tahun 2009 hingga 2011,  10 lokasi seperti berikut telah diwujudkan:-

    1. PSR Perpustakaan Awam Bestari Jaya, Kuala Selangor
    2. PSR Perpustakaan Klang
    3. PSR Perpustakaan Awam Semenyih, Hulu Langat
    4. PSR perpustakaan Desa Kampung Melayu Ampang, Gombak
    5. PSR Sultan Abdul Samad, Banting
    6. Dewan Kempas, Seksyen 19, Shah Alam
    7. Pusat Komuniti Kampung Kuantan, Klang
    8. Perpustakaan Daerah Sabak Bernam
    9. Perpustakaan Daerah Gombak
    10. Perpustakaan Hulu Selangor (Perpustakaan Syed Mashor, Kuala Kubu Baru)

    Pada tahun ini pula lima(5) PSR lagi akan dibangunkan dan ditempatkan di Perpustakaan Desa dan Pekan iaitu:

    1. Perpustakaan Pekan Dataran Sabak bernam
    2. Perpustakaan Pekan Rawang
    3. Perpustakaan Cawangan Pelabuhan Klang
    4. Perpustakaan Pekan Sg Pelek
    5. Perpustakaan Pekan Hulu Bernam

      Menyediakan aplikasi-aplikasi elektronik Kerajaan

    Melalui kemudahan infrastruktur komunikasi yang disediakan,  seperti penyediaan Wifi percuma juga, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha dan menggalakkan  agensi –agensi di bawahnya untuk menyedia dan membangunkan aplikasi-aplikasi kerajaan elektronik bagi mewujudkan nilai kepada masyarakat untuk mempelajari dan menguasai ICT.  Kemajuan dalam Teknologi Maklumat (ICT) yang cepat dan luas, pertembungan teknologi komunikasi dan ICT dan persaingan bisnes telah telah memberikan tekanan kepada agensi-agensi kerajaan  untuk berubah dari segi bagaimana bisnes atau cara kerja harus dijalankan.  Dengan itu agensi kerajaan atau organisasi di bawah kerajaan Negeri  perlu peka mengguna dan mengeksploitasi ICT secara berkesan supaya kekuatan dan kemampuan organisasi dalam memberi perkhidmatan kepada pelanggan atau rakyat adalah lancar dan cekap.

    Penggunaan aplikasi elektronik yang kian berkembang akan menjadi sebahagian cara hidup dan cara bekerja,  dan rakyat perlu digalakkan untuk menggunakan aplikasi ini bagi memastikan urusan rakyat Negeri Selangor dapat dipermudahkan.  Secara tidak langsung ini dapat menggalakkan rakyat menggunakan internet dalam urusan harian mereka.

  3. Senaraikan lokasi-lokasi yang telah dilengkapi dengan capaian program WiFi percuma Negeri Selangor mengikut pecahan PBT dan adakah Kerajaan Negeri Selangor bercadang memberi komputer percuma kepada pelajar-pelajar yang kurang mampu bagi meningkatkan kadar celik komputer dan informasi di Negeri Selangor?

    Projek WIFI atau dikenali sebagai “Wireless Selangor” adalah usaha kerajaan negeri memperluaskan kemudahan wayarles jalur lebar (internet broadband) dan akses internet (internet accesibility) ke semua kawasan dalam negeri Selangor. Penglibatan Kerajaan Negeri Selangor dan Penyedia Perkhidmatan Internet atau dikenali sebagai ISP (Internet Service Provider) di dalam projek ini, membolehkan kemudahan capaian internet tanpa wayar ini akan dinikmati oleh rakyat Selangor dengan PERCUMA. Ini menepati manifesto Kerajaan Negeri untuk menjadi Negeri Maju, Sejahtera dan Berkebajikan.

    Bagi menentukan lokasi WiFi oleh Kerajaan Negeri Selangor pemilihan dibuat adalah berdasarkan kepada keperluan dan kriteria yang diambilkira adalah di kawasan-kawasan yang mempunyai banyak tumpuan, tarikan dan konsentrasi aktiviti komersil atau aktiviti penduduk seperti :

    i. Lobi atau kaunter di premis-premis kerajaan.
    ii. Medan-medan selera PBT. iii. Kawasan riadah / taman awam / dataran awam. iv. Hub pengangkutan awam seperti terminal bas, kenderaan awam, stesen LRT, komuter.
    v. Kawasan institusi pendidikan / pengajian tinggi / kolej.
    vi. Premis-premis perniagaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS). vii. Masjid / surau.
    viii. Pusat khidmat, balai JKKK, perpustakaan, pusat komuniti, dewan orang ramai/serbaguna, Pusat Siber Rakyat (PSR). ix. Taman perumahan dan kediaman kos rendah dan sederhana rendah.
    x. Premis-premis perniagaan, restoran dan kedai-kedai

    Pada fasa pertama Kerajaan Negeri telah melancarkan di lokasi seperti berikut:
    i. Dataran Shah Alam
    ii. Kompleks PKNS Shah Alam
    iii. Seksyen 2 Shah Alam
    iv. Seksyen 3 Shah Alam
    v. Seksyen 9 Shah Alam
    vi. Kuala Kubu Bharu, Hulu Selangor
    vii. Masjid Bukit Indah Ampang
    viii. DUN Bukit Melawati
    ix. DUN Sungai Panjang
    x. Bistari Jaya DUN Permatang
    xi. DUN Sekincan
    xii. DUN Sabak Bernam
    xiii. Lobby SUK dan Agensi Kerajaan Negeri

    Untuk perlaksanaan fasa ke dua yang akan mengguna Geran Selangorku,
    Kerajaan Negeri dalam perancangan menyenaraikan dua(2) kategori perkhidmatan WiFi untuk rakyat negeri Selangor iaitu secara berpusat (manage services) dan tidak berpusat (standalone). Bagi kategori pertama iaitu perkhidmatan secara berpusat, kerajaan negeri telah dan sedang menilai kertas cadangan daripada pihak pembekal perkhidmatan internet (ISP) utama di negara kita iaitu Telekom Malaysia dan Jaring. Beberapa syarikat lain juga telah membentang cadangan masing-masing. Semua cadangan sedang dikaji dan ISP atau syarikat yang dipilih adalah berdasarkan kepada kekuatan dan keupayaan syarikat untuk memastikan perkhidmatan yang akan diberikan nanti boleh dipercayai (reliable) dan mempunyai kualiti perkhidmatan, penyelenggaraan serta khidmat lepas jualan yang baik. Selain itu Kerajaan negeri juga memberikan peluang yang sama kepada semua ISP dan tidak ada isu eksklusif atau monopoli dan ia diharap dapat mewujudkan suasana persaingan yang sihat.

    Dalam mengenal pasti kawasan-kawasan terpilih, setiap DUN telah diminta untuk mengemukakan cadangan kepada STANDCO Sains, Teknologi dan Inovasi bagi memastikan semua mendapat kemudahan ini.

    Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dalam menangani kadar celik komputer dan informasi Negeri Selangor dengan membuka Pusat Siber Rakyat di Perpustakaan Daerah atau di Pusat Komuniti IT yang di naik taraf menjadi Pusat Siber Rakyat. Ini kerana di Pusat Siber Rakyat tersebut terdapat tenaga pengajar yang sedia memberi bimbingan dan tunjuk ajar kepada pengguna komputer selain menyediakan kursus-kursus asas komputer. Langkah ini membantu Kerajaan Negeri mengawasi tahap dan memberi peluang kepada semua golongan untuk mempelajari tentang ilmu asas komputer.

    Secara perbandingan jika sekumpulan 10 orang menerima 10 unit komputer daripada Kerajaan Negeri secara kasarnya hanya kumpulan itu sahaja yang menerima manfaat tersebut. Manakala jika Kerajaan Negeri menyediakan 10 unit komputer yang ditempatkan di Pusat Siber Rakyat, impak ini adalah lebih menyeluruh bukannya kepada golongan umur tertentu sahaja kerana Pusat Siber Rakyat boleh digunakan untuk semua golongan dan kaedah ini dilihat lebih praktikal dan memberikan impak yang lebih menyeluruh kepada rakyat dan golongan kurang berkemampuan dan akhirnya usaha Kerajaan Negeri untuk merapatkan jurang digital di kalangan rakyat negeri ini tercapai.

Lampiran

Tiada Lampiran.