Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016
28 Mac - 01 April 2016 dan 04 April - 08 April 2016
143) KADAR AIR TIDAK BERHASIL (NRW)
Tahun: 2016
Sesi: 1
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah strategi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd untuk mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW) dalam masa tiga tahun yang akan datang memandangkan syarikat milik kerajaan Selangor ini telah mengambil alih tugas bekalan air daripada Syabas dan Puncak Niaga?
Kerajaan Negeri melalui Air Selangor sedang meneliti dan membuat perancangan bagi menentukan garis dasar dan asas untuk pengurangan air tidak berhasil di masa depan melalui model yang bersesuaian, seperti Kawasan Meter Daerah dan Zon Meter Daerah. Dengan perancangan dan pengurusan NRW yang lebih efisien dan efektif, kadar NRW disasarkan turun ke tahap 25% pada tahun 2025. Air Selangor yang mula mengambil alih pengurusan dan operasi SYABAS dari 15 Oktober 2015 juga sedang mengkaji kesesuaian pelaksanaan NRW yang sedang dilaksanakan oleh SYABAS buat masa ini. Mengikut perancangan, Air Selangor akan melaksanakan pengurusan NRW secara holistik yang membabitkan kawalan kualiti kerja, komitmen pengurusan dan kakitangan dan mengkaji semula kesesuaian outsourcing secara keseluruhan kerja-kerja NRW seperti yang dilaksanakan oleh SYABAS. Antara tumpuan utama Air Selangor di dalam mengurangkan NRW adalah seperti berikut:-
Penggantian Meter Air
Keutamaan pada meter air rosak dan lama yang memberi bacaan tidak tepat serta menentu ukur (calibrate) meter air besar (pukal).
Penyambungan Bekalan Air Tidak Sah
Mengimbangi proses memperoleh penyambungan dengan mengenal pasti serta mendenda pihak yang tidak mematuhi prosedur.
Teknologi
Menggunakan teknologi yang paling efektif untuk menyiapkan model sistem dan mengenal pasti kebocoran.
Pengurusan Tekanan Air
Mengurus sistem tekanan air supaya tidak membebankan rangkaian saliran paip air.
Penggantian Paip Utama
Membaiki, memulihkan atau menggantikan paip secara efisien dan bertepatan pada masanya. Penggantian semua paip yang bermasalah akan mengambil masa dan perbelanjaan yang amat banyak. Ianya akan dilakukan secara berperingkat, tertakluk kepada kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan kemampuan kewangan Kerajaan Negeri, Air Selangor serta Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Bagi tahun 2016, Air Selangor telah pun mengambil langkah proaktif akan memulakan program awal menggantikan 23 kilometer paip usang yang sering bocor atau pecah di beberapa kawasan kritikal di Selangor mulai bulan April 2016.