Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Yang Kelima Belas Tahun 2024
15 November 2024, 18-22 November 2024, 25-28 November 2024
343) KACAU GANGGU LALAT
Tahun: 2024
Sesi: 3
Isu: n/a
Adun: Y.B. Tuan Jefri Bin Mejan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menangani isu kacau ganggu lalat yang berpunca daripada ladang ternakan ayam atau ternakan lain khususnya di DUN Ijok?
Langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menangani isu kacau ganggu lalat yang berpunca daripada ladang ternakan ayam khususnya di DUN Ijok adalah berlandaskan Enakmen Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2007 dan Peraturan-peraturan Perladangan Unggas (Negeri Selangor) 2008. Di bawah enakmen ini, ladang yang menimbulkan isu kacau ganggu lalat dikompaun setelah mendapat keizinan daripada Timbalan Pendakwa Raya (TPR). Jumlah kompaun yang ditawarkan tidak melebihi dua (2) ribu ringgit tetapi tidak kurang daripada tiga (3) ratus ringgit. Seterusnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) boleh menggantung dan membatalkan lesen jika pemegang lesen (penternak) melakukan kesalahan berulang kali.
Khusus bagi DUN Ijok, Kerajaan Negeri melalui DVS Selangor dan Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah Kuala Selangor (PVD Kuala Selangor) pada masa kini sering melakukan pemeriksaan ladang secara rawak terutama apabila menerima aduan berkaitan isu ini daripada orang ramai dan jabatan/agensi lain. Sebagai contoh, dari bulan Januari hingga awal November 2024, PVD Kuala Selangor telah melaksanakan dua belas (12) pemeriksaan dan penguatkuasaan undang-undang di DUN Ijok. Dalam tempoh berkenaan, sebanyak tiga (3) kompaun telah dikenakan ke atas sebuah (1) ladang. Bagi pengetahuan semua Yang Berhormat sekalian, aktiviti pemeriksaan dan penguatkuasaan masih diteruskan hingga ke hari ini.