Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2020
30 Oktober 2020 - 12 November 2020
122) Jumlah Permohonan Net Energy Metering (NEM) Oleh Kerajaan Negeri
Tahun: 2020
Sesi: 3
Isu: Sains, Teknologi & ICT
Adun: Y.B. Tuan Rajiv A/l Rishyakaran
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Butirkan jumlah permohonan Net Energy Metering (NEM) Oleh Kerajaan Negeri?
a) Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, cadangan Pemasangan Panel Solar di Bangunan-bangunan Kerajaan Negeri Selangor adalah di bawah Skim Solar Energy Purchase (SEP) oleh GSPARX Sdn. Bhd yang merupakan anak syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Tempoh kontrak pemasangan panel solar adalah selama 15 tahun dengan anggaran kapasiti pemasangan di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor adalah 903.5 kilowatts peak (kWp) dan 1,687 kilowatts peak (kWp) di seluruh Pejabat Daerah dan Tanah.
Kesemua sistem solar ini dibekalkan dengan skim Net Energy Metering (NEM) yang ditawarkan oleh kerajaan pada masa ini di bawah agensinya iaitu SEDA. Di bawah skim NEM ini, ia membenarkan penjualan lebihan tenaga elektrik kepada TNB secara “one-to-one offset”, dalam bentuk nilai kredit. Sebarang lebihan tenaga elektrik dari sistem solar (setelah digunakan untuk keperluan bangunan terlebih dahulu) akan dieksport kepada Grid TNB dan sebarang keperluan elektrik tambahan akan diimport daripada Grid TNB secara automatik. Nilai import eksport tenaga elektrik ini akan direkodkan oleh meter ‘bidirectional’ TNB dan dipaparkan di dalam bil elektrik bulanan. Kredit yang diperolehi hasil eksport kepada Grid TNB boleh digunakan untuk penjimatan pada bil bulan berikutnya.
-
Apakah lokasi pemasangan sistem solar ini?
Seperti yang telah dinyatakan dalam jawapan (a), pemasangan panel solar akan dilaksanakan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah semua Pejabat Tanah dan Daerah Negeri Selangor.